Sembang Biasiswa: Biasiswa Qatar untuk MA dalam Pengajian Quran Kontemporari


Assalamualaikum,

Kita berjumpa lagi dalam segmen Sembang Biasiswa khas untuk membantu mereka yang sedang berusaha mencari biasiswa. Saya akan cuba menghubungi mereka yang dapat biasiswa untuk belajar di luar negara. Kemudian saya akan hantar soalan temuduga bertulis kepada mereka melalui emel. Selepas itu, saya akan hantar sedikit token of appreciation kerana sudi bekerjasama dalam projek kecil-kecilan ini. Jadi jika anda kenal sesiapa yang belajar di luar negara dengan biasiswa dan mahu saya menemuduga beliau ATAU anda sendiri sudi berkongsi kisah anda, bolehlah hubungi saya di upfiruz@gmail.com ^_^

Kali ini kita sambung dengan kisah Saudara Thaqif yang ada saya kongsikan pada post pertama dalam segmen ini. Sebelum ini beliau bercerita tentang pengalaman mendapat biasiswa Turki tetapi beliau menolak tawaran tersebut kerana mendapat tawaran daripada unversiti lain.

Haaa…kali ini beliau akan berkongsi pengalaman mendapat biasiswa dari Qatar dalam bidang Pengajian Quran Kontemporari. Semoga bermanfaat!

 

qatar1

Saudara Thaqif pada hari orientasi universitinya. Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris merupakan bahasa rasmi di universiti tersebut.

Nama: Thaqif Ismail

Bidang Pengajian: MA Contemporary Quranic Studies

Tahun Pengajian: 1

Universiti:  Hamad Bin Khalifa University

Nama Biasiswa: Qatar Foundation

Tahun Biasiswa: 2016

qatar2

Fakulti Pengajian Islam di Universiti Hamad bin Khalifa

1) Bagaimana saudara/saudari dapat tahu tentang biasiswa tersebut?

Melalui pelajar Malaysia di university tersebut dan juga dari laman FB pensyarah universiti yang mengajar di sana. Digalakkan untuk aktif ‘following’ FB para pensyarah/tenaga akademik Universiti dan juga laman FB rasmi universiti untuk tidak ketinggalan apa-apa info.

2) Bila waktu terbaik untuk memohon biasiswa tersebut?

Permohonan dibuka sekitar November hingga April bergantung kepada bidang yang dipohon, ada yang dibuka pada bulan Januari-April seperti bidang pengajian Islam.

qatar3

Oxygen Park, Qatar Foundation

3) Apakah persiapan yang diperlukan untuk memohon biasiswa tersebut?

Mulakan menghubungi pelajar-pelajar Malaysia di university tersebut dalam tempoh beberapa bulan sebelum permohonan biasiswa dibuka, khususnya berkenaan tips dan teknik mengisi permohonan dalam talian kerana ianya agak rumit. Boleh juga memulakan carian ‘page’ dan ‘group’ FB Universiti Hamad Bin Khalifa untuk tidak ketinggalan tentang maklumat permohonan university dibuka.

qatar4

Kolej kediaman yang sangat cantik dan mewah seperti hotel. Pelajar Sarjana dan PhD ditempatkan di apartment yang dilengkapi dapur dan peti ais. 

4) Adakah temuduga merupakan syarat biasiswa tersebut? Jika ya, boleh berikan sedikit tips untuk temuduga tersebut?

Ya, temuduga diwajibkan. Persiapan paling penting untuk menghadapi temuduga ialah kemahiran berbahasa. Untuk pelajar yang memohon MA Pengajian Islam dalam Bahasa Arab, kemahiran berbahasa arab akan diuji melalui ujian lisan melalui temuduga, dan ujian bertulis dimana ana diminta menulis karangan berjumlah 300 perkataan kenapa anda berminat untuk belajar di sana. Mengetahui Bahasa Inggeris dan bahasa asing yang lain merupakan markah bonus. Untuk mereka yang memohon program MA Islamic Studies di dalam Bahasa Inggeris, anda dikehendaki mengambil IELTS atau TOEFL, atau mengemukakan bukti medium pengajaran semasa Ijazah Sarjana Muda didalam Bahasa Inggeris, untuk lebih selamat korbankan wang untuk mengambil ujian IELTS. Temuduga melalui telefon didalam Bahasa Inggeris akan dijalankan dan karangan berjumlah 300 perkataan juga dikehendaki.

qatar5

Pohon zaitun ditanam di sekitar Fakulti Pengajian Islam

5)Berapa lama saudara/saudari menunggu untuk mendapat jawapan permohonan biasiswa tersebut?

Permohonan dihantar awal Mei. Manakala keputusan disenarai pendek untuk ditemuduga dikeluarkan pada penghujung Mei. Temuduga pula dijalankan melalui panggilan telefon oleh ketua Jabatan program MA yang dipohon.  Keputusan permohonan tiba sebulan kemudian sekitar pertengahan Jun, manakala keputusan biasiswa pada awal Julai.

qatar6

Pemandangan Fakulti Pengajian Islam dari Oxygen Park, Qatar Foundation.

6) Nasihat/tips  untuk mereka yang berminat untuk memohon biasiswa yang sama.

Pastikan CGPA anda berada pada paras sekurang-kurangnya sekitar 3.5, kerana persaingan agak sengit dari seluruh dunia, kebanyakan pelajar yang diterima merupakan mereka yang mendapat kelas pertama semasa Ijazah Sarjana Muda.

qatar7

Antara ‘land mark’ di Doha, Masjid al-Fanar yang terinspirasi dari senibina Masjid Ibn Tulun di Mesir dan Samrra di Iraq. 

Antara ‘land mark’ di Doha, masjid Al-Fanar yang terinspirasi dari seni bina Masjid Ibn Tulun di Mesir dan Samarra di Iraq.