Kembara Bajet Berkeluarga ke Itali: Sepetang di Milan


Assalamualaikum!

^_^ Maaf atas ‘kesunyian’ selama beberapa hari di blog kerana sedikit sibuk menerima tetamu di rumah dan mengembara ke Itali! Meh saya ceritakan pengalaman saya di sana. :D Saya akan ceritakan pengalaman kembara dahulu. Selepas selesai semua cerita kembara, saya akan kongsikan tips perancangan percutian dalam post lain ye🙂

Masuk saja waktu Subuh pada pukul 2.45 am, kami terus menunaikan solat lengkap dengan pakaian kembara dan terus keluar dengan 1 beg sederhana besar dan 1 beg tarik kecil untuk menaiki bas malam. Sampai saja di Marble Arch pada pagi buta itu, kami pun mengheret beg ke sebuah perhentian bas berdekatan. Di situ kami menunggu bas A6 khas untuk ke Stansted Airport. Awal-awal lagi cik abe telah membeli tiket menerusi internet, jadi kami hanya tunjuk e-tiket. Kami bertiga pun mengambil tempat duduk dan menyambung tidur kerana perjalanan memakan masa hampir sejam.

Kami tiba di lapangan terbang Stansted lebih kurang pukul 5.30 am. Wah, memang sudah ramai orang pada waktu itu! Stansted boleh dikategorikan sebagai lapangan terbang untuk penerbangan kos rendah. Mungkin kerana itu ramai yang mengambil peluang mendapatkan tiket penerbangan murah dengan memilih slot awal pagi.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Lapangan Terbang Stansted yang sudah sibuk pada pukul 5.30 pagi

Kami sudah siap-siap check in di rumah, jadi kami hanya beratur untuk memberi bagasi dan pemeriksaan passport dan visa. Penerbangan kami adalah Ryan Air, sebuah syarikat penerbangan kos rendah seperti Air Asia. Berdasarkan pemerhatian, banyak rombongan yang bercuti bersama, lebih-lebih lagi kumpulan hen party (percutian khas untuk bakal pengantin dan rakan-rakannya). Memang lucu melihat beberapa kumpulan memakai baju seragam dan salah seorang daripada mereka memakai makhkota dan wedding veil yang kecil. Ada juga rombongan budak universiti dan mereka memakai baju yang pelik-pelik belaka seperti baju bayi siap dengan bonnet bayi, ada juga memakai gaun dan bertocang dua tetapi muka penuh dengan jambang. Hahaha!

hen party

(Source: Google) Bakal pengantin dan kawan-kawannya dalam perjalanan untuk bercuti

Penerbangan kami lewat hampir sejam tapi alhamdulillah akhirnya kami terbang juga. Oh bukan mudah menjaga seorang anak berumur 2 tahun yang aktif di dalam kapal terbang! Mujur dia ada tempat duduk sendiri tetapi biasalah, mulutnya tidak berhenti bercakap bahasa bayi dan asyik panjat naik turun. Alhamdulillah Arish ligat bermain ketika sejam pertama manakala dia tertidur pada sejam kedua. Saya pun ambil kesempatan untuk tidur kerana tiba saja di Milan, kami akan terus berjalan. Energy recharging time...

arishpeeking

Arish mengintai orang belakang

arishtab

Papa buka Evernote untuk Arish dan beri peluang Arish ‘menconteng’.

Tidak lama sebelum mendarat, Arish terjaga dan sambung bermain. Kapal terbang bergegar sedikit kerana terlanggar awan dan sudah mula merendahkan penerbangan untuk mendarat. Selama ini, Arish tenang saja dalam kapal terbang. Mungkin kerana dia sudah sedikit besar dan faham, dia tiba-tiba menjadi sangat takut. Maka…bermulalah drama dalam kapal terbang. Dia menjerit dan menangis ketakutan; kami pegang pun tak mahu. Dia mahu sembunyi di bawah kerusi kapal terbang kerana ketakutan sedangkan dia perlu duduk di kerusinya siap dengan tali pinggang. Sayu hati rasanya memaksa Arish duduk di kerusi apabila dia meraung ketakutan dan juga menggigil! Oh anakku! Sekejap lagi saja kita nak mendarat sayang~

flightmountain

Subhanallah! Cantiknya ciptaan Allah<3

Alhamdulillah Arish kembali tenang sebaik saja kapal terbang berhenti bergerak. Sabor je la Arish ni. Hehe~ Kami tiba di Milan Bergamo Airport @ Milan Orio el Serio Airport lebih kurang pada pukul 11.30 pagi. Urusan masuk ke Itali sangat mudah, pakcik imigresen pun tak tanya apa-apa. Keluar saja dari lapangan terbang, kami terus ke perhentian bas khas untuk ke Milano Centrale, sebuah stesen besar di Milan (seperti KL Central). Seperti biasa, cik abe telah siap-siap beli tiket bas pergi balik menerusi internet, maka kami bertiga pun mengambil tempat dan menyambung perjalanan hampir sejam.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Dari tingkap bas menuju ke Milano Centrale

Mungkin kerana kami pergi ke Milan dari London, jadi kami terasa YA ALLAH panasnyaaa! Huhu~ Di London, kami masih memakai baju sejuk yang nipis kerana angin sepoi-sepoi bahasa masih bertiup. Milan pula sangat panas terik bagi kami. Pendingin hawa di bas pun sangat malu-malu bertiup. Kami bertiga pun melipat suratkhabar dan mula mengipas.

Milano Centrale sangat besar dan pelbagai keretapi dan bas berhenti di situ. Kami terus ke tingkat bawah untuk menaiki metro (seperti Underground di London) ke kawasan hotel kami. Sebelum itu kami membeli dua set tiket yang terdiri daripada 10 keping tiket setiap set. Hati-hati ketika di sana kerana ada saja orang yang kelihatan pemurah untuk menghulurkan bantuan tetapi kemudiannya mereka akan meminta wang. Cik abe menolak pertolongan seorang lelaki yang kelihatan mahu membelikan tiket untuk kami. Mudah saja membeli tiket sebenarnya, tekan saja pilihan bahasa Inggeris di mesin tiket itu dan pilihlah Urban Ticket.

ReteMetro_Milano2013

Peta Metro di Milan

Hotel Mistral terletak berdekatan dengan stesen Metro Rogoredo FS, kira-kira 6 minit berjalan kaki.  Dalam perjalanan, kami ternampak kedai pizza milik orang Mesir Kristian. Kami memesan pizza margherita dan membawanya ke hotel untuk santapan tengah hari. Kami menunaikan solat, makan tengah hari dan sempat mandi kerana tidak tahan panas. Kemudian, kami keluar semula untuk mula meneroka Milan.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Di hadapan Hotel Mistral. Bersiap sedia untuk meneroka Milan.

Sebenarnya terpulang pada ‘selera’ anda untuk melancong di sesebuah tempat. Kami sekeluarga suka berjalan-jalan di tempat cantik, ambil gambar dan merasa makanan. Mana-mana muzium yang berbayar, kami tidak masuk untuk menjimatkan wang, sekadar ambil gambar di hadapan saja. Hehehe~ Bagi saya tempat menarik di Milan tidak sebanyak London, kebanyakan tarikannya adalah gereja. Sebelum ke Milan, saya sudah siap-siap membuat perancangan menggunakan laman web visitacity. Kami menaiki Metro ke Duomo dan semua tarikan dalam perancangan saya terletak di situ.

milan1day

Ini contoh perancangan percutian kami yang dicadangkan visitacity.com

Kami hanya mengambil gambar di hadapan kawasan istana dan gereja. Milan Cathredal adalah antara gereja yang terbesar dan terkenal di dunia. Memang cantik binaannya, berbeza dengan konsep Notre Dame di Paris. Cuaca sangat panas terik, kami cepat-cepat mengambil gambar dan terus ke Galleria Vittorio Emanuele II. Galleria ini merupakan tempat membeli belah yang sangat cantik dari segi binaannya. Harga barang di situ pun sudah pastilah cantik. Hehehe~

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Di hadapan Milan Cathredal

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Di Galleria yang cantik seni binanya

Kami hanya cuci mata manakala Arish pula sudah rimas kepanasan dan mahu berjalan. Macam-macam drama yang dilakukan dan kami tidak berhenti mencurah air ke kepalanya. Budak Londoner lah katakan, naik merah pipinya menahan kepanasan. Kami biarkan Arish berjalan sambil menolak strollernya.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Boss kecik nak jalan sendiri sambil tolak kereta sorongnya

dramaarish

Drama Arish Ulwa di Milan

Saya rasa sangat teringin untuk merasa gelato asli di Itali lebih-lebih lagi apabila melihat ramai yang sedang memakannya. Memang banyak kedai gelato di situ tetapi kami memilih kedai yang yang berjauhan sedikit untuk mendapatkan harga murah. Menjerit-jerit Arish mahukan gelato itu untuk dia seorang. Akhirnya senyap juga dia dapat makan gelato satu kon. Kuranglah rasa panasnya kerana dapat makan gelato. Huhuhu~

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Kedai gelato di Itali

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Berebut gelato dengan Arish. Hehe~

Antara tujuan kami ke Milan adalah untuk menghadiri Expo Dunia 2015. Banyak bendera digantung dan iklan mengenainya kelihatan di mana-mana.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Bendera pelbagai negara digantung di sepanjang jalan.

Saya akan ceritakan pengalaman menarik di expo dalam post seterusnya nanti. Memang BEST! Kami berjalan-jalan sampai sakit kaki dan akhirnya mengambil keputusan untuk pulang ke hotel. Rasa penat hari pertama masih terasa dan kami mahu berehat menyimpan tenaga kerana keesokkan harinya kami ada tiket keretapi untuk ke………………VENICE! Nantikan kisah kembara Venice kami di post seterusnya😉