Makmal Masakan 3 : Ubi Kentang Kicap Bermadu Bijan


Jika saya teringin makan masakan Korea, saya akan merujuk laman web maangchi untuk resepi makanan yang lazat. Selera makan saya sangat kena dengan masakan Korea dan Jepun. Pengaruh drama Korea dan pengaruh berkahwin dengan orang yang belajar di Jepun barangkali. Hehe~

Kali ini saya ingin berkongsi satu resepi ubi kentang yang saya pelajari dari maangchi. Hidangan ini sesuai dijadikan makanan sampingan dengan nasi atau mee atau yang seangkatan dengannya. Pada mulanya saya teragak-agak untuk mencubanya memandangkan cik abe tidak beberapa berkenan dengan masakan ubi kentang. Tetapi dek terpengaruh dengan gambar masakan yang nampak sedap di maangchi, saya cuba juga. Lembut saja ubi kentang itu, manis dan gebu. Alhamdulillah cik abe pun suka jugaaaaaaak, siap ratah lagi.😀

Ok jom kita tengok resepi untuk hidangan yang mudah dan sedap ini.

Bahan-bahan:

  1. ‘Anak’ ubi kentang (baby potato) atau ubi kentang biasa yang dipotong kecil-kecil
  2. 2 sudu besar minyak masak
  3. 3 sudu besar kicap manis
  4. 3 sudu besar madu
  5. Sedikit bawang putih kisar
  6. 1 sudu kecil minyak bijan
  7. 1 sudu besar bijan

Cara-cara:

  1. Jika guna ubi kentang biasa, potong dahulu kecil-kecil. Basuh ubi kentang dan buang segala bahagian yang rosak.
  2. Tuang minyak dalam frying pan dan masukkan ubi kentang.

potato1   3. Dengan api sederhana, masak ubi kentang itu dengan penutup lebih kurang 20 minit. Goncang-goncangkan sikit frying         pan supaya semua ubi kentang masak dan untuk mengelakkan hangit.

potato2

4. Kecilkan api dan masukkan kicap mana, madu dan bawang putih kisar. Kacau semua dengan rata.

5. Naikkan sedikit api dan teruskan mengacau selama 4 atau 5 minit sehingga kuah menjadi kurang dan ubi kentang menjadi berkilat dan berkedut.

6. Padamkan api, campurkan minyak bijan dan taburkan bijan.

7. Pindahkan ubi kentang tersebut ke dalam mangkuk dan sedia untuk dihidang.

potato3