Mendaki Gunung Fuji Beramai-ramai


kazokubanner-pengalaman

sushibakarkomik

Kalau melihat poskad-poskad dari Jepun semestinya kita sering mendapati gambar sebuah gunung yang agak semetri antara kiri dan kanannya dan mempunyai salji di puncak. Ketika kecik SB selalu beranggapan gunung tersebut hanyalah ilustrasi pelukis yang seakan-akan gambar Air Batu Campur (ABC) di Malaysia. Rupa-rupanya Gunung Fuji ini adalah antara gunung berapi tidak aktif yang terkenal bukan setakat di Jepun malah di dunia . SB ketika di University Yamanashi dulu sempat mendaki gunung fuji ini dua kali, 2008 dan 2011.

SB2-1

Maaf SB hanya mempunyai gambar-gambar dari pendakian kedua 2011

Cuti musim panas 2008 merupakan cuti panjang pertama SB semenjak bergelar pelajar universiti. Cuti musim panas di Jepun agak lama iaitu selamat 2 bulan lebih. Di tempat SB belajar sudah menjadi aktiviti tahunan komuniti Malaysia di Yamanashi untuk penganjurkan program mendaki gunung Fuji untuk pelajar Malaysia seluruh Jepun. Program in mendapat sambutan baik dari seluruh Jepun kerana semua ingin merasa untuk mendaki gunung Fuji sekali seumur hidup sementara berada di Jepun. Lebih kurang 30 orang telah terpilih untuk program tahun 2008.

SB2-2

Kabus mengaburi puncak gunung

Musim panas merupakan masa terbaik untuk mendaki Fujisan ( nama pangilan Gunung Fuji di Jepun) kerana hanya musim ini sahaja salji tidak meliputi puncak gunung. Beribu-beribu manusia datang dari pelusuk Jepun semata-mata ingin mendaki gunung ini. Bas rombongan sampai di Stesen Nombor 5 ( salah satu tempat mula pendakian ) yang berada kira-kira  2000m dari paras laut pada waktu 9 malam. Pendakian dimulakan  pada waktu malam supaya sempat berada di puncak bagi tidak melepaskan peluang untuk penyaksikan cahaya matahari terbit dari puncak gunung tertinggi di Jepun. Pendakian boleh memakan masa 3-4 jam untuk orang yang  berstamina tinggi dan 6-8 untuk biasa. Berbekalkan beberapa batang coklat, biskut, dan air, pendakian dimulakan.

SB2-3

Berehat-rehat dahulu

Perjalanan masih lagi senang di awal kerana kawasan agak landai. Kedengaran gelak ketawa rakan yang bergurau senda. 20 minit berjalan kami tiba di pos check point yang pertama. Dari pos tersebut samar-samar kelihatan lampu  dari pendaki-pendaki seolah kunang-kunang yang sedang terbang. Puncak gunung tidak kelihatan pada waktu malam. Hanya lampu di pos check point sebagai rujukan jarak perjalanan. Kalau gunung di Malaysia kaya dengan flora dan faunanya, gunung berapi Fujisan kaya dengan batu-batuannya. Sepanjang trek pendakian SB hanya mendapati banyak batu pelbagai saiz mengelilingi Fujisan. Walaupun begitu, kerajaan Jepun telah menetapkan laluan pendakian yang tertentu untuk kesenangan dan keselamatan pendaki.
Suhu semakin sejuk dan angin semakin kuat bertiup bila kami mendaki ke atas, menambahkan lagi cabaran. SB macam biasa guna pendekatan ” penat, rehat dan sambung” sebab mendaki gunung bukan pertandingan nak cari juara. Ketika SB berehat-rehat di cek point yang kedua, lalu di depan seorang atuk dan nenek yang pada anggapan SB lebih kurang 60 tahun lebih umurnya. Kedua-keduanya memegang tongkat dan berjalan perlahan. Dalam hati SB, “diorang ini tak nak berehat dulu ke, nak sampai cek point ketiga lama lagi tu”. Mereka memang selamba sahaja teruskan perjalanan. Selepas 10 minit, SB pun sambung pendakian. SB berjumpa mereka semula beberapa minit kemudian, mereka masih lagi mendaki perlahan-lahan, SB pintas tanpa berfikir panjang. Cek point ketiga masih jauh, SB berehat lagi di kawasan lapang di celah-celah batu. Agak selesa disitu kerana terhalang dari tiupan angin gunung. Ketika sedang berehat sambil minum dan makan coklat, atuk dan nenek yang sama melintas sekali lagi depan SB. SB rasa kagum melihat mereka. Pada umur sebegitu masih berkemampuan, timbul dalam fikiran SB orang-orang Jepun memang makan makanan sihat dan kuat bekerja, mungkin sebab itu purata umur mereka antara tertinggi di dunia.
SB2-4

Ini bayang Fujisan, memang sangat cantik.

SB tiba di puncak pukul 3 pagi selepas lebih kurang 8-9 jam pendakian. Penat tu Allah sahaja yang tahu. Ditambah pula dengan suhu yang hampir mencecah satu angka sememangnye mencabar. Mengigil dan kelaparan, itu yang dialami setiap peserta. Nasib baik ada sebuah kedai yang menjual “udon”( sejenis makanan ala-ala mee sup di Malaysia), bolehlah kami memanaskan badan dan melapik perut untuk seketika.
SB2-5

Udon

Ketika tiba masa matahari terbit, semua orang berpusu-pusu mendapatkan spot terbaik untuk mengambil gambar. Melihat cahaya awal matahari terbit dari puncak gunung adalah seperti melihat berlian besar yang memancarkan kilauan yang sangat cantik. Subhanallah hebat sungguh ciptaan Allah. Kilauan tersebut hanya untuk beberapa minit sahaja sebelum fajar mula terbit sepenuhnya. Butang lensa camera ditekan berkali-kali untuk mendapatkan gambar kenangan yang terbaik.

SB2-6

Di keheningan pagi di atas Fujisan

Perjalanan menuruni Fujisan tidak mencabar seperti mendaki cuma kaki lenguh membrek supaya tidak berjalan turun terlalu laju kerana trek yang curang dan berbatu kecik. SB hanya mengambil masa lebih kurang 4 jam untuk sampai semula ke stesen pendakian ke-5.

Walaupun penat, kenangan mendaki Fujisan antara pengalaman yang terbaik SB pernah rasa ketika berada di Jepun. Pada masa akan datang, SB berharap untuk membawa isteri dan anak mendaki Fujisan bersama, Insyallah.

SB2-7