Cerita Makan di Iran


kazokubanner-makanan

superbondacomic

Assalamualaikum,

Mari duduk dekat-dekat. Bonda nak bercerita tentang makanan di negara Iran. Bonda tinggal di Iran hampir 5 tahun dan ketika mula-mula bonda sampai sana, memang susah juga bonda nak menelan makanan mereka. Kita dah terbiasa dengan makanan berperasa dan berempah di Malaysia, jadi bila makan hidangan mereka, rasa macam ‘plain’ saja. Tapi apabila sudah tinggal lama di sana, bonda dah lali dan semua makanan laju saja turun ke dalam tekak.­čśÇ

Makanan utama orang Iran adalah nasi dan roti. Ye dua-dua sekali. Selalunya pada waktu makan, kalau nasi dihidangkan, roti pasti ada sekali. Roti dalam bahasa Parsi adalah nan. Jadi bila bonda terdengar orang Malaysia pesan makanan di kedai mamak, “Mamak, nak roti nan satu!” bonda mesti tersenyum sendiri. Dah roti, nan pula. Hehehe~

Roti di Iran ada banyak jenis tetapi yang utama ada 4 iaitu:

nan-e barbari

Nan Barbari

Roti ini agak tebal dan sedap jika dimakan panas-panas. Dulu di Iran, bonda dan kawan-kawan dari negara lain sengaja panggil roti ini ‘Roti Skateboard‘ kerana bentuknya yang lonjong.

nan-e lavash

Nan Lavash

Roti ini nipis saja. Carik sedikit dan makanlah dengan apa saja. Bonda suka makan roti ini untuk sarapan Iran. Koyak sikit roti, bubuh krim keju sikit, walnut, tomato, daun coriander, gulung dan makan. Memang sedaaaap! Cubalah!

nan-e sangak

Nan Sangak

nan-e sangak baking

Haaa…nampak tak pakcik ni masak nan sangak atas hamparan batu dalam lubang tu?

Roti ini dimasak di atas batu dan rasanya istimewa. Makan cicah apa pun sedap!

nan-e taftoon

Nan Taftoon

Roti ini adik-beradik roti lavash cuma lebih tebal.

Selain itu, ‘sambal’ bagi orang Iran adalah yogurt kosong. Setiap hidangan pasti ada yogurt kosong. Kadang-kadang mereka akan tambah timun atau daun pudina atau bawang putih di dalamnya. Orang Iran makan nasi bersama yogurt, kiranya makan nasi sesuap, kemudian yogurt sesuap.

Mula-mula, memang tekak bonda tak lalu nak meratah yogurt dengan nasi. Memang pelik bebenor rasanya. Kalau pergi dewan makan di universiti, bonda memang tak sentuh pun yogurt yang diletakkan dalam pinggan bonda. Tapi lama-kelamaan, bonda dah terbiasa dan rasa janggal pula kalau tiada yogurt bersama nasi. Alaaaah, macam sambal untuk orang Melayu dan kimchi untuk orang Korea.

yogurt

Yogurt yang ditabur hirisan timun dan daun pudina

Masyarakat Iran sama seperti masyarakat Turki yang amat menyukai teh, Cara membuat teh orang Iran sama saja dengan cara orang Turki iaitu dengan menggunakan kaedah pengewapan. Orang Iran tidak membancuh teh bersama gula. Mereka menyediakan ghand (ketulan gula) atau nabat (gula batu) secara berasingan.

ghand

Ghand (ketulan gula)

Caranya ialah letak seketul gula dalam mulut dan kemudian hirup teh. Ketulan batu itu akan cair dan ia seolah-olah membancuh teh dalam mulut. Hehehe~ Memang manis melecas! Cuba bayangkan berapa ketul gula yang mereka ambil untuk menghabiskan secawan teh? Bonda tak sanggup. Selalunya bonda ambil satu atau dua ketul gula saja, campak ke dalam teh dan cuba hancurkannya dengan sudu. ;p

nabat

Nabat (gula batu)

nabatincup

Mengacau teh dengan nabat

Jika guna nabat (gula batu) pula, kacau saja gula batu di dalam teh sehingga dapat tahap kemanisan yang disukai.

Kalau nak bercerita lagi tentang makanan, bonda takut jadi cerita 1001 malam pula. Cukuplah setakat ini dulu. Kita berjumpa lagi di pusingan seterusnya ya.

Khoda hafez~