Bubur Kacang Merah Versi Korea


kazokubanner-makanan

monghanyojakomik

Minggu lepas disebabkan beberapa urusan penting yang hendak diselesaikan, saya terpaksa makan di luar. Saya dan kawan memilih untuk mencuba kedai bubur yang dikenali sebagai bonjuk, 본죽, kedai khas yang menghidangkan beraneka jenis bubur yang sangat terkenal di Korea Selatan.

bonjuk2

Bubur kacang merah yang dipaparkan di papan menu sangatlah menarik perhatian. Saya pun tanpa teragak-agak memilih untuk mencuba bubur kacang merah dan ia merupakan kali pertama saya merasai bubur kacang merah versi Korea. Kenalan saya pula memilih untuk menjamu bubur tiram pedas. Dalam beberapa minit kemudian bubur yang diminta dihidangkan di hadapan kami.

redbeanoysterporridge

Perasaan keterujaan saya sewaktu memesan menu itu terhapus serta merta. Ternyata bubur itu sememangnya hanyalah ‘bubur kacang merah’. Bubur kacang merah yang tidak diletakkan langsung gula ke dalamnya. Mana mungkin lidah melayu saya ini boleh tahan dengan ketawaran bubur yang diberi!! Berlainan pula dengan bubur tiram pedas kepunyaan kawan yang sangat cukup rasa dan sedap. Untuk menghabiskan satu mangkuk besar bubur kacang merah yang tawar sangatlah mencabar. Akhirnya atas desakan masa, saya mencuba resipi baru dengan mencampur bubur kacang merah dengan sedikit bubur tiram pedas untuk menambah sedikit rasa ke dalamnya dan sebagai pendorong untuk menghabiskannya….

Peristiwa hari itu menimbulkan tanda tanya kepada saya adakah rakyat Korea menggemari bubur yang asli tanpa gula?

Teman rapat saya orang Korea mengatakan terdapat dua jenis bubur kacang merah iaitu bubur kacang merah asli dan juga bubur kacang merah bergula. Pat-juk (팥죽 )dan Tan-pat-juk 단팥죽. Secara umumnya orang Korea menggemari bubur kacang merah asli tanpa gula. Jadi saya harus memesan bubur kacang merah yang manis barulah mereka akan menambah gula di dalamnya dan itu bergantung juga pada kedai yang menjualnya. Tidak semua gerai menjual bubur kacang merah manis.

patjuk

Pat-juk

sweetredbean

Tan-pat-juk

Saya juga dimaklumkan kacang merah di Korea ini sendiri mempunyai simbol dan sejarahnya yang tersendiri. Orang korea percaya yang kacang merah ini dapat menghalau roh-roh jahat orang yang sudah mati dan hantu yang ingin mengganggu mereka.

throwbean

Antara kepercayaan yang lain adalah bubur kacang merah ditabur di hadapan rumah dan juga dimakan untuk menghalang daripada malapetaka dan roh-roh jahat daripada memasuki rumah. Dengan memakan bubur kacang merah, ia juga dipercayai dapat menghalang  si pemakan daripada mendapat nasib malang dan mengelak daripada penyakit berjangkit. Begitu juga jika terdapat orang yang sakit, mereka akan menabur bubur kacang merah di atas jalan. Dengan demikian warna bubur kacang merah yang merah itu dipercayai dapat menghalau penyakit itu.