Cinta F.A. ~ Daun 10


sembangPhD

Beberapa hari yang lepas, Kak Hasyimah dan Sahara dari University of Brunel datang berziarah ke Acton Town (kawasan rumah saya). Kak Hasyimah merupakan pelajar PhD dalam kajian mengenai ‘Work and life balance‘ manakala Sahara pelajar ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan. Memandangkan saya dan Kak Hasyimah merupakan pelajar PhD dalam bidang umum Sains Sosial@Kemanusiaan, maka kami sempat membuat sesi curhat (curah rasa hati). Memang rasa menyegarkan apabila ada teman seperjuangan yang berkongsi pendapat dan memberi nasihat dan tips untuk kita terus semangat berjuang.

Terima kasih Kak Hasyimah dan Sahara! Terima kasih daun keladi, kalau boleh mai lah lagi! Hehehehe~

Minggu ini merupakan minggu terakhir untuk kisah Cinta F.A. Yaaaa~ inilah episod terakhir. Tak sangka kan dah habis? Saya harap kisah ini dapat memberi manfaat atau pengajaran pada anda. Harap terhibur dengan kisah tak seberapa ini. Lama saya simpan cerpen ini, rasanya dari tahun 2007. Insya Allah saya akan giat menulis cerita lagi. Sebenarnya ada lagi beberapa cerita dalam simpanan saya. Dok terfikir, nak bubuh di blog atau tak…..macam mana ye? Hehe~

Ok, terimalah Cinta F.A. daun kesepuluh. Bertemu lagi dalam kisah yang lain pula. Terima kasih kerana sudi mengikuti kisah Cinta F.A. sehingga ke hujungnya.😀

cintafa10

Cinta F.A.

Daun Kesepuluh

Firuz setia menunggu dengan hati yang penuh dengan harapan. Setelah menyerahkan beg pada bahagian bagasi, sengaja dia berdiri berdekatan pintu masuk lapangan terbang. Mudah untuk Fereshte melihatnya nanti. Itupun jika dia sudi datang. Dia mengeluh perlahan.

Niat awalnya adalah mencari sahabat untuk menguatkan Bahasa Parsi. Tidak sangka dia menjumpai seorang sahabat sejati seperti Fereshte. Dia sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan datang ketika tengah hari. Lain yang diharap, lain pula yang terjadi. Salam persahabatan yang dihulur, disambut dengan tadahan cinta.

Dia menjeling jam tangan. Sudah tiba masanya untuk pergi ke balai menunggu. Firuz tahu kini berakhirlah sebuah persahabatan. Tiada apa yang boleh dilakukan. Itu keputusan Fereshte dan dia perlu menghormatinya. Dia mula berjalan dengan langkah yang longlai.
Langkahnya mati tiba-tiba. Di hadapannya kelihatan seorang gadis bercadur sedang berdiri dengan kepala yang tertunduk. Seorang lelaki separuh umur pula menemani di sebelahnya. Masing-masing membatu tanpa sebarang kata dan gerakan. Firuz sekali lagi melihat jam tangan. Dia memang perlu pergi sekarang. Jika dia terlewat, dia tidak akan dibenarkan memasuki kapal terbang.

“Firuz, awak nak tinggalkan saya begitu saja?” Suara Fereshte kedengaran sayu.“Tanpa ucapan selamat tinggal, awak mahu pergi?”
Firuz berhenti dan menoleh ke arah Fereshte. “Saya tak akan sekali-kali ucapkan selamat tinggal,”
Fereshte terpana mendengar kata tegas itu.

“Kerana saya akan kembali untuk meneruskan persahabatan yang tergendala,” sambung Firuz dengan senyuman manis. Senyuman mula mekar di wajah Fereshte yang layu. Firuz cepat-cepat mengeluarkan sesuatu dari beg sandangnya. Dia menghulurkan sebuah bungkusan kepada Fereshte.

“Hadiah harijadi awak,” kata Firuz. Fereshte pula menyerahkan Divane Hafiz kepadanya. Setelah mengucapkan terima kasih, Firuz pantas berlari ke arah balai menunggu.
“Dia sudah pergi ayah,” Fereshte memandang ayah dengan wajah hiba.
“Dia akan pulang anakku. Seorang sahabat tidak akan memungkiri janji,” nasihat ayah sambil mengusap kepala anak kesayangannya.
Di dalam kereta, Fereshte membuka sampul surat yang digam di atas bungkusan itu.

Assalamualaikum, sahabatku.

Selamat Hari Lahir. Semoga murah rezeki dan diredhai oleh Allah selalu. Cinta Ferhad kepada Shirin mungkin mengasyikkan tetapi cinta sahabat sebenarnya lebih indah. Cinta Ferhad adalah cinta satu taraf saja tetapi kita berdua saling menyayangi. Persahabatan kita diwarnai oleh 2 insan yang mempunyai pangkal nama yang sama. Bukankah pasangan sahabat Firuz Akhtar dan Fereshte Ansari lebih sedap bunyinya berbanding Ferhad dan Shirin?
Terimalah selendang biru ini sebagai hadiah. Saya harap awak akan menyukainya. Wassalam.

Sahabatmu,
Firuz Akhtar

Fereshte membuka bungkusan itu dengan hati yang gembira. Sehelai selendang sutera biru bermanik indah mengusap lembut tangannya. Di sudut selendang, terkait 2 huruf –F.A. Dia lantas mengacukan selendang di atas kepala.

‘Terma kasih, Firuz. Saya akan menunggu kepulangan awak di lapangan terbang. Ketika itu, saya akan pastikan selendang biru ini membalut kepala saya.’ janji Fereshte dalam hati. Kepalanya mendongak ke langit dengan senyuman yang menari di bibir.