Cinta F.A. ~ Daun 9


Cuaca semakin ‘suam’ sekarang walaupun angin sejuk masih bertiup. Waktu inilah ramai yang mula keluar ke taman. Budak-budak yang paling seronok bermain sebab tidak perlu berkurung dalam rumah dek cuaca sejuk. Haaaa…Arish the chubby bunny boy memang teruja sangat apabila kami bawa dia ke Princess Diana Park. Permainan di situ memang banyak, kreatif dan best lah! Arish bergerak sepanjang masa, langsung tak mahu duduk. Hehe~

arishdianapark

Ok, jom ikuti sambungan Cinta F.A. untuk daun kesembilan. Dah nak habis dah cerpen ni..oh!

cintafa9

Daun Kesembilan

Bantal sudah basah dek air mata. Dia sendiri tidak tahu sudah berapa lama dia berkurung dalam bilik, berapa banyak air mata tumpah untuk si dia. Hancur segala mimpi dan harapannya. Disangkanya cinta mereka bakal menjadi sehebat cinta Khosro dan Shirin[1]. Sebaliknya dia jatuh hati pada kaum sejenis pula! Komputernya mengeluarkan bunyi.

firuz­_8420: Fereshte, saya minta maaf. Berilah saya peluang untuk menjelaskan segala-galanya.

Fereshte menekup wajah di bantal. Sebarang penjelasan tidak mampu mengubati hatinya yang luka parah.

firuz_8420: Biar saya terangkan dari mula. Sememangnya dari awal, Firuz yang awak kenali adalah gadis dari Malaysia. Saya melawat laman chat untuk mencari lebih ramai kawan Iran tanpa mengira jantina. Saya seorang perempuan tetapi dianggap lelaki manakala awak pula seorang perempuan yang mengaku lelaki. Bukankah sekali saya pernah mengaku yang saya ini perempuan? Awak pula fikir yang saya hanya bergurau.

Fereshte mengesat sisa air mata. Dia mengambil tempat duduk di hadapan komputer.

firuz_8420 : Suatu hari, kita duduk bersebelahan di kantin universiti. Awak khusyuk membaca kertas emel untuk saya. Ketika itu saya tahu yang awaklah Fereshte, kawan saya selama ini. Betul kata awak. Awak memang sentiasa keseorangan tanpa sebarang teman. Saya sebenarnya mahu mengaku tentang identiti sebenar saya tapi saya batalkan saja niat itu. Saya bimbang jika awak tahu bahawa saya gadis asing yang sama, awak tidak mahu berkawan dengan saya lagi.

Fereshte teringat kejadian hari itu. Dia tidak menyangka Firuz sempat membaca kertas yang berada di tangannya.

firuz_8420: Saya terharu dengan semangat berkawan awak sehingga awak menyediakan fail khas untuk saya. Sejak itu saya juga mengumpul segala emel dan chat kita di dalam sebuah fail. Di atas fail, saya tulis ‘bidadari[2]’,makna bagi nama awak dalam bahasa saya.

Bidadari maknanya Fereshte? Namanya sendiri dianggap nama gadis Malaysia itu
firuz_8420: Saya bersetuju untuk bertemu dengan awak di Taman Mellat kerana saya mahu mengaku diri saya sebenar. Begitu beria untuk bertemu awak, saya datang lebih awal. Akhirnya hampir 2 jam saya menunggu tapi awak tak muncul-muncul. Saya terpaksa pergi kerana saya ada perbincangan pelajaran dengan kawan-kawan. Rupa-rupanya saya sendiri yang silap. Saya tak menukar jam sejam ke belakang. Negara saya tiada musim luruh dan salji. Saya tak tahu yang terdapat perubahan masa setiap kali menjelang musim luruh dan musim bunga.

Kasihan Firuz. Rupa-rupanya bukan dirinya sahaja yang menunggu lama. Firuz juga setia menunggunya selama 2 jam.

firuz_8420: Saya mahu memperkenalkan diri dalam chat sahaja tapi tak kesampaian. Bagaimana perlu saya mendedahkan hal sebenar apabila awak meluahkan perasaan cinta pada saya? Fereshte, saya sayangkan awak tapi sebagai seorang kawan.

Fereshte terasa malu dengan diri sendiri.

firuz_8420: Fereshte, adakah cinta lelaki begitu penting buat awak pada masa ini? Tidakkah awak rasa cinta sahabat juga tinggi nilainya? Berkawanlah, Fereshte. Jangan lepaskan peluang untu bersahabat. Percayalah bahawa ia satu pengalaman yang indah. Mengapa perlu jadi orang asing di negara sendiri?

Fereshte sedar sikapnya yang tidak suka berkawan itu menyebabkan dia sering rasa kesepian. Sejak kecil dia memang begitu. Bolehkah dia mengubahnya sekarang?

firuz_8420: Saya betul-betul mahu berkawan dengan awak tapi terpulanglah pada awak untuk membuat keputusan. Menjelang Noruz[3]saya akan pulang ke Malaysia. Kalau awak maafkan saya, datanglah ke lapangan terbang. Jika awak tidak datang, saya sendiri akan faham yang persahabatan kita sudah sampai ke penghujungnya.

Fereshte kembali mengalirkan air mata. Firuz yang dicintainya selama ini tidak wujud. Firuz yang ada ini pula mahukan persahabatan. Dia keliru. Antara dendam cinta dan persahabatan, mana satu yang perlu dipilihnya?
* * * * *

[1] Khosro dan Shirin adalah satu daripada legenda cinta Iran. Khosro adalah seorang raja di Iran. Shirin dan Khosro saling mencintai.

[2] Bidadari dalam bahasa parsi adalah Fereshte

[3] Noruz adalah perayaan tahun baru bagi rakyat Iran. Iran mempunyai kalendar sendiri. Noruz jatuh pada 21 Mac setiap tahun.