Tips Memilih Bidang Pengajian di Universiti/Kolej


Assalamualaikum.

Sejak akhir-akhir ini saya dapat banyak soalan yang hampir serupa daripada adik-adik lepasan SPM: Akak, macam mana nak pilih bidang pengajian di universiti/kolej? Saya tak tahu macam mana nak pilih.

Memandangkan hari ini keputusan SPM 2014 telah diumumkan, dan sebelum saya dihujani dengan soalan yang sama lagi, hehe~ maka saya bercadang untuk menulis tips untuk memilih bidang pengajian. Sebenarnya ada banyak cara untuk membuat pemilihan tetapi saya amat berminat dengan artikel ini How To Decide On Your Major dari WikiHow. Walaupun ia untuk pemilihan major untuk sistem pendidikan Amerika, saya rasa ia sesuai juga untuk pemilihan bidang bagi kita orang Malaysia. Di sini saya terjemahkan artikel tersebut dan saya olah sesuka hati sesedap rasa untuk tatapan adik-adik lepasan SPM.

major1

1) Kenalpasti minat dan kecenderungan diri

Ini persoalan yang penting bagi diri tetapi kerapkali diabaikan. Perlu diingatkan bahawa bidang pengajian bukanlah jaminan utama untuk mendapat pekerjaan pada masa hadapan. Lebih baik kita belajar sesuatu yang kita minati atau ada rasa cenderung sedikit daripada melakukan sesuatu kerana terpaksa. Apabila ada rasa minat, insya Allah kita akan lebih bersemangat untuk menuntut ilmu dan insya Allah kegembiraan dan kecemerlangan akan datang juga.

  • Sewaktu mengenalpasti minat, fikirlah ke hadapan, lebih dari hobi seperti sukan atau alat muzik. Fikir tentang sumbangan yang anda mahu berikan kelak. Adakah anda berminat dengan dunia perniagaan? Bercita-cita nak menyelamatkan alam sekitar? Berbakat dalam seni lukisan? Anda sukakan matematik? Anda nak jadi doktor?
  • Perlu diingatkan yang minat anda tidak semestinya akan kekal sama sampai bila-bila. Dalam masa 4 tahun akan datang, bukan saja minat, malah teknologi dan ekonomi pun akan berubah sedikit atau banyak. Apabila sudah tamat pengajian, kemungkinan pekerjaan idaman anda sudah tidak ‘hot‘ lagi dan pelbagai pekerjaan baru malah yang tak terjangkau dek akalmu akan wujud.

major2

2) Fikirkan kembali tentang pelajaran atau kelas kesukaan sewaktu di bangku sekolah

Walaupun sekarang anda masih terawang-awang dalam mengenalpasti cita-cita, anda masih berpeluang mengenalpasti bakat, kemahiran atau kekuatan diri dengan melihat sejarah akademik anda. Bukan saja pelajaran yang diminati, tengok juga pelajaran yang anda cemerlang.

  • Kelas mana yang paling best dan memberi semangat buat anda? Kelas Sains? Matematik? Kelas bahasa? Pendidikan jasmani?
  • Tengok pula kelas mana yang anda dapat keputusan cemerlang. Tak semestinya kena sentiasa dapat A dalam subjek itu tetapi sekurang-kurangnya pencapaian anda dalam kelas itu konsisten.

major3

3) Pertimbangkan peluang pekerjaan pada masa depan, tetapi jangan terlalu obses.

Jangan fikir bahawa pemilihan bidang adalah pemilihan pekerjaan, tetapi fikirkan ia sebagai memilih ‘lorong’ untuk masa depan. Segala peluang pekerjaan atau internship akan datang kemudian, mungkin dalam situasi atau peluang yang tak tersangkakan langsung.

Walaubagaimanapun jika minat anda memang sudah selari dengan pekerjaan idaman, maka pilihlah bidang yang boleh membantu anda sampai ke destinasti dengan cepat. Contohnya, anda memang bercita-cita menjadi doktor, maka sudah tentu anda perlu ambil bidang perubatan.

major4

4) Tentukan jenis ijazah apa yang anda mahukan.

Walaupun sekarang anda masih tidak jelas dengan bidang pengajian, anda boleh kecilkan pilihan antara Bachelor of Arts (BA) atau Bachelor of Sciences (BS).Syarat dan klasifikasi antara BA dan BS berbeza berdasarkan universiti masing-masing tetapi secara umumnya:

  • BA melibatkan bidang kemanusiaan, sains sosial, keseniaan dan sebagainya. Contoh: Sains Politik, Hubungan Antarabangsa, Sastera Arab, Sejarah Seni, Anthropologi dan lain-lain.
  • BS melibatkan bidang sains, matematik dan sebagainya. Contoh: Kejuruteraan, Biologi, Ekonomi dan lain-lain.

major5

5) Bertanya pada yang lebih arif

Jangan segan untuk bertanya dan mendapatkan bimbingan. Walaubagaimanapun, pastikan dulu yang anda sudah kenalpasti apa minat, kemudian carilah bimbingan, bukannya minta ‘disuap’ sepenuhnya kerana anda lebih tahu apa kekuatan dan minat anda.

Bertanyalah pada para senior, kawan, guru, kaunselor sekolah, orang-orang yang lebih berpengalaman dan banyak lagi. Anda juga boleh membuat kajian melalui internet dengan membaca website atau  mengikuti perbincangan maya di kumpulan dalam FB.

Nasihat untuk adik-adik:

  1. Orang yang paling banyak membuat perubahan di dunia adalah orang yang mempunyai minat mendalam dengan apa yang dilakukannya. Jangan pilih sesuatu hanya kerana duit atau prestij tetapi pilihlah kerana minat anda. Jika anda buat sesuatu yang disukai, anda akan rela untuk bekerja lebih keras dan lebih bersemangat.
  2. Jangan biarkan ibu bapa atau sesiapa saja tentukan bidang pengajian anda. Memang sangatlah bagus untuk mendapatkan khidmat nasihat atau bimbingan daripada sebanyak mungkin orang, tetapi ini adalah kehidupan anda. Yang lain boleh tunjukkan jalan, jangan biarkan mereka ‘menolak’ anda.
  3. Tengok role model anda dan cuba belajar daripadanya. Anda mungkin boleh membuat temujanji untuk meminta nasihat daripadanya. Jika tidak berpeluang, rajin-rajinlah mencari dan membuat kajian.
  4. Ingat, bidang pengajian anda bukanlah satu-satunya penentu pekerjaan masa akan datang. Ia mungkin menjadi satu latarbelakang atau pendorong untuk masuk ke bidang lain kelak. Apa-apa pun mungkin terjadi.

Yang penting doa, usaha dan tawakal. Rajin-rajinlah mencari dan belajar.

Semoga berjaya semua! \^0^/