Cinta F.A. ~Daun 7


arishrunning

Setiap hari saya akan cuba bawa Arish menghadiri sesi playgroup percuma dengan anak-anak kecil yang lain. Dia akan leka bermain sehingga saya terpaksa mendukungnya keluar. Sudah pasti dia akan mengamuk kerana tidak mahu pulang. Sejak akhir-akhir ini juga dia sangat suka berlari di padang luas depan bangunan playgroupnya. Dengan kakinya yang pendek itu, dia kelihatan seperti penguin yang berlari riang di atas padang, haha! Penat juga bondanya hendak mengejar tapi tak mengapalah, biar dia penat berlari. Penat nanti, cepatlah tidurnya, cepatlah juga bonda dapat peluang baca buku. Hehehe~

Baiklah, jom kita sambung cerita Cinta F.A. kita. Terimalah:

cintafa7

Cinta F.A.

Daun Ketujuh

Baju sejuk berwarna merah disarung ke badan. Hari pertama musim luruh tidaklah sejuk tetapi angin kecil sudah mula bertiup. Dia agak mudah mendapat selsema. Jika dia menghidap selsema, ayah tidak akan membenarkannya pergi ke universiti. Oleh itu, dia begitu berhati-hati dalam menjalani langkah pencegahan.

Senyuman tidak lekang dari bibir. Terasa bagaikan bulan jatuh ke riba apabila Firuz bersetuju untuk bertemu dengannya di Taman Mellat hari itu. Debaran di hati hanya Tuhan yang tahu. Dia bakal bertentang mata dengan Firuz buat pertama kali setelah 3 bulan berkawan. Jenuh dia cuba membayangkan wajah Firuz tetapi tidak berjaya. Apa yang dia tahu hanya satu; Firuz seorang lelaki yang baik.

Dia memegang kemas hadiah yang bakal diberikan pada Firuz. Sejak akhir – akhir ini dia dapat merasakan kelainan pada dirinya. Hatinya berlagu riang setiap kali dia teringatkan lelaki itu. Akhirnya dia menyedari yang dirinya telah jatuh cinta. Biarlah Firuz menilik nasib cinta mereka dengan Divane Hafiz[1] yang bakal dihadiahkan itu.

Sesekali dia menjeling jam tangan. Tinggal 5 minit lagi sebelum pukul 4 petang. Jalan raya pula penuh sesak dengan kereta. Ayah cuba sedaya upaya untuk menyampaikannya di Taman Mellat secepat mungkin tetapi ternyata usahanya gagal.

Pada pukul 4.20 petang, mereka akhirnya tiba di perkarangan Taman Mellat. Dia berlari pantas dengan hadiah di tangan. Ketika itu dia menyedari kelibat gadis asing itu yang sedang berjalan keluar. Kepalanya tertunduk dan wajahnya muram. Larian Fereshte terhenti seketika. Entah mengapa dia terasa kasihan melihat kemurungan gadis itu. Tentu gadis itu mempunyai masalah. Fereshte tahu hidup di negara yang berbeza dengan adat dan budaya sendiri bukanlah satu perkara yang mudah.

‘Eh! Kenapa pula aku sibuk bimbangkannya? Firuz tentu sudah lama menungguku,’ Fereshte mengingatkan diri sendiri. Firuz tiada di bangku yang dijanjikan. Dia menghela nafas lega. Nampaknya bukan dia seorang sahaja yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Dia melabuhkan punggung di bangku itu. Sambil menunggu kedatangan lelaki pujaannya, dia melihat sekeliling. Sehelai daun kering gugur mencium bumi.

Daun yang keseratus turut meninggalkan dahan dan menyertai kumpulan daun kering yang berkumpul di kaki pokok.

“Fereshte, marilah pulang. Ayah tak fikir dia akan datang,” Fereshte memandang wajah ayah dengan perasaan sugul. Akhirnya dia bangkit juga dan meninggalkan taman itu tatkala langit disimbah warna jingga.

Lewat malam itu, komputernya menerima kunjungan Firuz.

ali_redza9: Sehingga maghrib saya menunggu awak tapi batang hidung awak pun tak kelihatan. Awak tak pandai menepati janjikah?

firuz_8420: Saya atau awak yang mengkhianati janji? Bukankah kita berjanji untuk bertemu pada pukul 4?

ali_redza9: Jalan raya amat sibuk hari ini. Saya tiba lewat sikit saja.

firuz_8420: Saya tiba lebih dulu tapi saya tak boleh menunggu lebih lama. Ada hal yang perlu saya selesaikan.

Fereshte mengeluh perlahan. Dia langsung tidak mampu menyimpan rasa marah lama-lama pada lelaki itu. Salah dirinya juga. Segala rasa penat dan kecewa lenyap begitu sahaja. Betul kata orang. Jika sudah sayang, buah yang masam pun boleh terasa manis. Dia tidak mampu menanggung rasa ini lagi. Semakin disimpan, semakin ia menusuk jiwa.

ali_redza9: Firuz saya ada sesuatu nak beritahu kepada awak. Harapnya awak sudi mendengar.

firuz_8420: Tentu saya sudi. Kenapa Fereshte? Awak ada masalah?

ali_redza9: Firuz, saya cintakan awak.

Tiada lagi jawapan daripada Firuz. Fereshte dilanda rasa kecewa. Lelaki itu menolak cintanya?

ali_redza9: Awak langsung tak ada perasaan terhadap saya?

firuz_8420: Saya juga sayangkan awak.

Mata Fereshte bersinar gembira.

ali_redza9: Betulkah Firuz? Awak juga sayangkan saya?

firuz_8420: Ya. Cinta dan sayang itu banyak tafsirannya, Fereshte.

[1] Divane Hafiz adalah himpunan syair dari penyair terkenal bernama Hafiz Shirazi. Hafiz menulis syair berdasarkan tafsir Quran. Rakyat Iran sering menggunakan Divane Hafiz untuk menilik nasib.