Cinta F.A. ~ Daun 5


Assalamualaikum ^_^

Jika saya memasak di dapur, ada seorang chef kecil yang akan ‘membantu’ saya. Habis bersepah dapur dibuatnya tetapi tak mengapalah, asalkan dia ‘bekerja’ dengan senyap dan tak merengek nak didukung sudah cukup baik. Barulah bondanya boleh memasak dengan tenang. Hehe~

20150207_112713

Baiklah, kali ini kita sambung pula dengan Daun Kelima bagi siri cerpen Cinta F.A. Maaf, kali ini ceritanya pendek. Insya Allah, kita akan sambung cerita yang lebih panjang untuk minggu depan.🙂
autumn_leaf-994068

Cinta F.A.

Daun Kelima

Lif yang masih berada di tingkat 8 ditunggu dengan sabar. Sejak awal lagi, dia sudah menulis nama untuk giliran menggunakan internet percuma di tingkat 4. Beberapa bahan penting perlu dicari untuk tugasannya kali ini. Memandangkan ada 30 minit lagi sebelum gilirannya, dia bercadang untuk singgah di perpustakaan yang terletak berhadapan dengan internet.

Pintu lif hampir tertutup tetapi seseorang cepat menahannya. Seorang gadis berjubah seluar berwarna biru melangkah masuk. Fereshte menjeling ke arah gadis yang bertudung biru itu. Sekeping fail dipeluk kemas di dadanya. Mata Fereshte asyik mencuri pandang fail itu.

‘Eh! Mengapa aku sibuk nak ambil tahu tentang dia?’ Fereshte memperingatkan dirinya. Dia teringat kata-kata Firuz ketika mereka bertemu di laman chat tempoh hari.

firuz_8420: Fereshte, saya rasa awak teringin nak berkawan dengan pelajar asing itu.

ali_redza9: Taklah! Kenapa pula awak rasa begitu?

firuz_8420: Awak sedar tak dalam setiap chat dan emel yang awak hantar, pasti awak akan bercerita tentang gadis asing itu? Awak bercerita tentang pakaiannya, cara dia makan, ke mana dia pergi dan lain-lain lagi. Awak perasan tak yang awak sentiasa memerhatikan gerak gerinya?

Ketika tiba di tingkat 4, pintu lif pun terbuka. Gadis asing itu turut keluar dan menuju ke perpustakaan. Dia terus mengambil tempat duduk di satu sudut. Fereshte pula menyimpan beg di almari yang disediakan. Ketika dia melintasi tempat duduk gadis itu, dia memperlahankan langkah. Fail gadis itu terletak sepi di sisinya. Satu nama tertera besar di halaman fail itu. Fereshte cuba sedaya upaya untuk membacanya. ‘Bi…da…da…ri’ Berjaya juga dia menyebut perkataan sukar itu dalam diam. Dia terasa pelik dengan nama itu.

“Agaknya nama orang di negaranya memang begitu. Tapi, cantik juga namanya. Bidadari…” kata Fereshte sendiri sambil berjalan ke arah rak buku.