Cinta F.A. ~Daun 4


Assalamualaikum,

Macam mana hari ahad semua orang? Cuti hujung minggu begini jangan disia-siakan. Kalau boleh ambil masa untuk berehat dengan keluarga tau.

Kami pula ‘melawat’ kedai gunting kerana saya sudah rimas melihat Arish dengan rambut yang serabai itu. Tapi…faham-faham sajalah. Mereka yang bergelar ibu bapa kepada anak kecil tentu faham bagaimana susahnya hendak menggunting rambut mereka. Memang tak reti duduk diam!

Tapi cuba tengok gambar ni:

guntingrambut

Arish dengan tenangnya ‘menyerahkan diri’ untuk digunting rambut!

Mana taknya..dia mendapat servis VVIP: duduk di peha empuk papa dan menontot Upin Ipin dari tablet papa.

Amboi, budak-budak zaman sekarang ni!

Ok, jom sambung dengan sambungan Cinta F.A😀

Cinta F.A.

Daun keempat

Irama sayu dari petikan sitar[1] mewarnai petang yang suram itu. Walaupun hanya lagu tanpa kata, kesedihan si pemetik jelas tergambar. Sesiapa saja yang mendengarnya, pasti dibelai dengan rasa sebak. Lain pula dengan Fereshte. Telinganya bagaikan disambar api yang marak. Jika telinga boleh ditanggal dan dipasang semula, sudah lama dia melakukannya.

Fereshte menghempas pintu bilik dengan sekuat hatinya sebagai tanda protes. Namun begitu, petikan sitar itu bagaikan tiada penghujung. Telinganya dikatup rapat dengan telapak tangan. Segera dia berlari ke sudut dinding dan mencangkung di situ. ‘Aku benci!’ Mahu saja dia menjeritkan kata itu tetapi dia tidak mampu.

Tidak lama kemudian, bunyi petikan sitar mati. Fereshte menarik nafas lega. Dia baru saja hendak bangun dari cangkungan apabila matanya mengesani sesuatu di sebalik almari. Hatinya sedikit tersentuh melihat album gambar berwarna merah jambu yang agak tersorok itu. Tangannya pantas mencapainya dan dia meniup debu tebal yang melekat. Itulah album kesayangannya suatu masa dahulu.

Album itu dibawa ke katil. Sambil meniarap, dia membeleknya satu persatu. Gambar semasa zaman kanak-kanak menghiasi halaman pertama. Pandangan matanya kaku pada sekeping gambar yang bersaiz besar. Di situ terpampang gambar sebuah keluarga bahagia yang terdiri daripada seorang ayah, seorang ibu dan seorang anak perempuan.

“Ibu,” Perkataan itu terbit dari mulutnya. Dia membelai gambar wanita itu dengan mata yang berkaca. Ketika dia berumur 7 tahun, ibunya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Sejak itu, tinggallah dia dan ayah berdua.

Halaman seterusnya dibuka. Semuanya gambar dirinya bersama ayah sejak kecil sehingga besar.Betapa ayah menyayangi dirinya. Dialah jantung, dialah intan payung. Semenjak kematian ibu, dia menjadi agenda utama dalam hidup ayah. Ayah tidak pernah berkahwin lagi. Cinta dan kasihnya hanya untuk ibu seorang. Mereka bercinta sejak awal umur 20-an tetapi berkahwin lambat kerana tuntutan pelajaran. Setelah masing-masing berjaya menggenggam ijazah yang diimpikan, akhirnya mereka berdua pun bersatu.

Sayangnya, ibu pergi dulu setelah hanya 7 tahun hidup bersama ayah. Sejak itu, ayah menatangnya bagaikan minyak yang penuh. Baginya tiada orang yang lebih disayangi melainkan ayah sehinggalah 2 tahun lalu. Dalam kegembiraan menerima surat tawaran universiti, ayah mengajukan hajat di luar jangkaan. Ayah mahu dia berkahwin sebelum menjejakkan kaki ke universiti! Dia terpana dengan permintaan itu. Mana mungkin dia berkahwin ketika semangat belajarnya berada di tahap maksima. Lagipun dia masih terlalu muda.

Alasan ayah dia tidak mahu anaknya menerima nasib yang sama seperti isterinya. Tidak lama mengecapi nikmat rumah tangga kerana masanya banyak dihabiskan untuk pelajaran. Alasan bodoh! Ajal, maut dan jodoh di tangan Tuhan. Berkahwin cepat tidak bermakna dia boleh menikmati kemanisan rumah tangga dengan lebih lama. Jika sudah ditakdirkan untuk mati, dia akan mati juga tanpa sebarang tundaan.

‘Ayah memang kejam!’ jerit hati kecilnya. Semua gunung kasih untuk ayah telah runtuh menjadi lautan benci yang tidak bertepi. Pantas tangannya membaling album itu ke dinding. Rasa sebak yang datang tadi padam disambar api.

[1] Sitar adalah salah satu daripada alat muzik tradisional Iran.