Aku Terlalu Mencintaimu!!!


Ketika saya mengajar di UKM sebelum menyambung pelajaran di London, saya pernah mewajibkan para pelajar saya untuk menulis artikel untuk Majalah JOM. Sengaja saya berbuat demikian untuk menggalakkan dakwah kreatif dalam kalangan pelajar, di samping berlatih menulis.

Di sini saya kongsikan artikel tulisan Nurulhuda binti Dzulkifli.

Jom kita kenali seorang insan hebat menerusi tulisannya.

Aku Terlalu Mencintaimu!!!

 Entah mengapa, hatiku tiba-tiba jatuh cinta saat mengenalimu..

Sedangkan aku tidak pernah bersua denganmu..

Aku tidak pernah mendengar suaramu, melihat ketampanan wajahmu, kecerdikan akalmu..

Tidak dapat ku nafikan lagi keindahan pekertimu..

Lemah lembut perwatakanmu..

Aku sudah dewasa saat pertama kali aku mendengar namamu..

Aku menyayangimu..

Wahai perwiraku..

Seringkali aku terfikir, masihkah ada insan sepertimu?? Keperibadianmu seindah namamu. Wahai pujaan hatiku.. MUS’AB BIN UMAIR…

musab-ibn-umair

 

Masihku ingat.. Sejak pertama kali aku medengar cerita tentangmu, air mataku mengalir. Sebak menerjah ke dalam hatiku. Begitu besar pengorbananmu. Saatku menulis luahan ini juga air mataku mengalir. Begitu sebak aku rasakan saat kehilangan dirimu.. L

Wahai perwira hatiku.. Masihku ingat kisah perjuanganmu dalam Islam. Begitu besar jasa yang telah kau taburkan sehingga dirimu sanggup dibuang keluarga kerana menentang keislamanmu. Malahan kau tetap bersabar walaupun dirimu dikurung oleh ibubapamu sendiri. Begitu tabah dirimu. Kau sanggup mengenepikan ibumu demi Islam tatkala kau diugut ibumu bahawasanya dia tidak akan menjamah makanan sehingga kau kembali menyembah berhala. Apakah jawapan yang patut diberikan?? Tapi jawapanmu betul-betul mengagumkan “Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali.”. Apakah terdapat lagi pemuda yang akan membuat keputusan yang amat berat sebagaimana yang diucapkan oleh dirimu??

Setelah kau dihalau, kau meneruskan kehidupanmu bersama Baginda Rasulullah s.a.w dengan bekerja sebagai penjual kayu api. Tidak dapatku bayangkan kehidupanmu sebelum ini diselebungi serba kemewahan berubah serta merta dan engkau sanggup bekerja sebagai penjual kayu api sahaja sedangkan engkau dimanjakan dengan kemewahan sebelum ini. Pakaianmu yang kemas, mahal dan indah, menjadikan ramai anak gadis bercita-cita untuk menjadi isterimu. Kau merupakan anak yang paling disayangi oleh keluarga berbanding saudara-saudaranu yang lain kerana segala kelebihan yang engkau miliki. Kau sanggup meninggalkan kekayaanmu demi Islam.

Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy terhadap kaum muslimin, kau adalah salah seorang sahabat yang di arahkan oleh Baginda berhijrah ke Habsyah. Namun keadaanmu setelah sekembalinya dirimu daripada Habsyah menimbulkan rasa sedih dihati Rasulullah. Betapa kurusnya tubuhmu perwiraku, pakaianmu compang camping dan usang. Begitu menderitakah dirimu wahai perwiraku??? Lantas Rasulullah berkata kepadanya “Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup mewah di tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.”

Setelah ibumu mengetahui tentang kepulanganmu, ibumu telah mengutuskan adikmu Al-Rum untuk memujukmu kembali menyembah berhala. Betapa kental hati ibumu, namun tidaklah setanding dirimu. Namun aku gembira apabila mengetahui tentang keislaman adikmu jua tanpa pengetahuan ibumu. Betapa mulia kamu berdua.

Kini tibalah saatnya aku akan kehilanganmu. Betapa berat untukku meneruskan penceritaanku. Sewaktu berlaku peperangan Uhud, kau telah ditugaskan memegang panji-panji Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi kau tetap tidak berganjak dari tempatmu dan menyeru: “Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul.”

Namun setelah selesai kata-katamu seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qami’ah telah menyerbu ke arahmu dan melibas tangan kananmu yang memegang panji-panji Islam. Begitu tabahnya dirimu apabila kau menyambut panji-panji itu dan memegang dengan tangan kirimu sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qami’ah bertambah marah terhadapmu dan menetak tangan kirimu pula. Ya Allah.. Kau tetap meneruskan perjuangnmu, kau terus menyambut dan memeluk panji-panji itu dengan kedua-dua lenganmu yang kudung. Akhirnya Ibn Qami’ah menikammu dengan tombak. Maka  gugurlah engkau sebagai syuhada’ Uhud.

Setelah itu, Abu al-Rum, Amir ibn Rabi’ah dan Suwaibit ibn Sa’d telah berusaha mendapatkan panji-panji tersebut daripada jatuh ke bumi. Abu Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya dirimu. Abu Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya yang dikasihi. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud.

Tambah menyedihkan ketika engkau hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup mayatmu melainkan kain usang yang selalu dipakai olehmu. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air matanya. Keadaanmu digambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur: Apabila ditarik ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu.

Begitu hebat keimanan dan keislamanmu untuk mempertahankan agama Islam yang baru kau kenali dan ikuti. Namun Nur Islam telah meresap dalam dirimu ketika usiamu masih muda dan syahidnya kau dalam usia yang begitu muda. Sedangkan remaja-remaja sekarang ini tidak dapat menjadi seperti engkau perwiraku. Namun ku bersyukur, pengakhiranmu adalah sebagai syuhada’ fi sabilillah.. J