Cinta F.A. ~Daun 3


Assalamualaikum,

Sebagai seorang suri rumah yang juga seorang pelajar PhD, bukan mudah untuk saya mendapat ‘me time‘ untuk membaca buku. Saya pula jenis yang perlu membaca dalam suasana yang bersesuaian untuk fokus dalam bacaan, lebih-lebih lagi apabila saya perlu membuat bacaan mendalam untuk setiap helai mukasurat bagi travelog kajian saya. Bagi saya, suasana paling ideal untuk saya fokus pada bacaan adalah secawan kopi lazat di kedai kopi~ Hehe~

Bagaimana nak membaca di kedai kopi dengan Arish?

Oh, almost impossible! 

Jadi saya akan melawat kedai kopi (Costa Coffee) ketika Arish mula mengantuk. Sampai saja di kedai kopi, dia sudah tertidur!😀

Just imagine the wonderful personal time with a book in your hand plus a cup of coffee at a cosy coffee shop while your baby dozing off in his buggy….aaaaah~~~~

Inilah bacaan ‘serius’ yang saya perlu habiskan dari kulit ke kulit kali ini.

20150129_153834

Sambil membaca, sekali-sekala saya pandang ke luar tingkap dan tiba-tiba saya ternampak sesuatu. Salji!

20150129_164116

Nampak tak bintik-bintik putih atas meja? Sikit je yang turun ;p

 

Subhanallah! Itulah salji pertama London untuk tahun ini dan ia juga salji pertama yang saya lihat sejak empat tahun dahulu ketika belajar Masters di Amerika. Sekejap sangat turunnya, tak sampai beberapa minit pun. Huhu~

Oklah, di sini saya sambung kisah bersiri ‘Cinta F.A’. Selamat membaca! ^_^

cintaF.A3

Cinta F.A.

Daun Ketiga

Fereshte mendaki tangga dengan sebuah pinggan berisi makanan di tangan kanan dan sebuah fail kertas di tangan kiri. Matanya cepat menangkap tempat kosong di tepi tingkap. Kantin universiti agak sibuk hari itu. Tingkat kedua yang selalunya lengang, sejak awal lagi sudah penuh.

Fereshte terus duduk dan membuka fail yang berisi beberapa kertas bercetak itu. Hatinya bebunga riang. Sudu yang terletak di sisi dicapai dan dia mulakan suapan. Matanya masih melekat di kertas yang baru dicetak kira-kira 5 minit lalu.

from: ali_redza9@hotmail.com
to: firuz_8420@yahoo.com
subject: salam

Apa khabar Firuz? Saya harap awak sihat. Untuk pengetahuan awak, saya merupakan pelajar bidang pengurusan perniagaan di Universiti Az-Zahra (1), Tehran. Sekarang saya sedang belajar di semester keempat. Nampaknya sampai sini dulu. Saya perlu bersegera ke kantin universiti untuk makan tengah hari. Kemudian saya perlu menghadiri kelas. Wassalam.

Sengaja dia mahu memperkenalkan dirinya yang sebenar kepada Firuz. Selama ini chat mereka hanya berkisar tentang hal-hal ehwal semasa tanpa menyentuh sedikit pun perihal peribadi. Alang-alang dia mendapat tempat duduk di bilik internet fakulti selama 10 minit, dia menaip sebuah emel ringkas unutuk Firuz.

Fereshte terasa diri diperhatikan. Dia terus menoleh ke sisi. Seorang gadis sedang memandangnya dengan wajah keliru dan terkejut. Apa yang pelik sangat? Fereshte kembali melihat dirinya. Sudu yang berisi makanan sudah diangkat tinggi, mulutnya sudah terbuka luas tetapi makanan masih belum lagi disuap ke mulut. Fereshte cepat-cepat meneruskan suapan yang tergendala itu. Wajahnya memerah akibat malu.

Dia memang akan melupakan hal lain apabila dia tiba pada hal Firuz. Failnya itu penuh dengan kertas cetakan emel dan chat mereka. Sengaja dia mencetaknya untuk simpanan peribadi. Fereshte menyimpan kertas itu ke dalam fail. Dia menumpukan perhatian terhadap makanan di hadapan. Sesekali matanya melirik ke arah gadis yang duduk di sisinya. Terasa seperti pernah melihat gadis itu sebelum ini. Tiba-tiba dia teringat sesuatu yang penting. ‘Inilah gadis yang mengambil tempat dudukku di teksi tempoh hari,’ bisik atmanya.

Fereshte memerhati gadis itu dalam diam. Gadis itu memakai sepasang pakaian ungu yang berbunga-bunga besar. Bahagian atasnya labuh sehingga ke lutut manakala bahagian bawahnya mencapai kaki. Tudung ungu yang dipakainya juga besar sehingga mencecah lengan. Perkara yang betul-betul memeranjatkan Fereshte ialah gadis itu sedang makan dengan menggunakan tangan!

‘Pasti dia pelajar dari negara lain.’ Fereshte meneka sendiri. Tempoh hari gadis itu mengenakan montu(2). Kelainannya tidak ketara sangat ketika itu. Sekarang dengan pakaian dan cara makan yang berbeza, dengan mudah semua orang dapat mengetahui bahawa gadis itu bukannya rakyat Iran. Senyuman merayap di bibir.

‘Nampaknya kali ini aku ada benda yang menarik untuk diceritakan kepada Firuz.’

[1] Universiti Az-Zahra adalah sebuah universiti yang terletak di Deh-e-Vanak, Tehran. Pelajar universiti ini terdiri daripada pelajar perempuan sahaja.
[2]Orang Iran memanggil jubah dengan nama montu. Selalunya gadis Iran memakai montu separas lutut dan berbutang di hadapan.