Tips Memilih Penyelia a.k.a Supervisor (SV)


Assalamualaikum, salam mahabbah untuk permulaan 2015! ^_^

Penyelia oh penyelia~ Ada macam-macam kisah dengan penyelia yang saya pernah dengar. Ada yang kamcing, ada yang hormat melangit, ada yang takut, ada yang meluat dan sebagainya.

phd070908s

Walaupun penyelia atau SV (Supervisor) bukanlah satu-satunya faktor penentu kejayaan, tidak dinafikan ia merupakan salah satu penyumbang penting untuk kelancaran kajian. Jadi memang pemilihan SV sangatlah penting, ala..macam nak memilih buah hati. Rasa takut dan ragu-ragu untuk memulakan ‘hubungan’ itu pasti wujud tetapi ia perlu diteruskan. Jika hubungan baik, alhamdulillah tetapi jika ia bagaikan ‘kusangka panas ke petang, rupanya hujan di tengah hari’, maka terpaksalah minta ‘clash‘ dan mencari yang baru demi kelancaran proses penyelidikan.

“Habis tu, macam mana nak cari SV? Kenal pun tak. Takutlah macam ni.”

Oh, jangan takut sangat tau! Nanti mati terus hajat nak sambung belajar. Huhu.

Selalunya orang memilih SV berdasarkan:

1) Cadangan daripada kenalan

# Selalunya mereka yang memberi cadangan pernah berada di bawah seliaan SV tersebut atau sekurang- kurangnya mengenali SV itu. Maka akan timbul lah cadangan untuk diselia atau mengelak SV berkenaan. Hehe.

2) Reputasi SV

#Untuk setiap bidang, pasti ada beberapa nama yang terkenal kerana kepakarannya atau bilangan kajian/penerbitannya. Ada juga yang memilih SV berdasarkan reputasi sebegini.

Walaubagaimanapun, kena ingat ye…seseorang pakar tidak semestinya seorang pembimbing yang baik. Contohnya, ada seorang profesor yang sangat pakar dalam bidangnya dan sudah berpuluh-puluh tahun berjasa untuk keilmuan bidang tersebut. Kita pun bersemangat gile untuk menjadi anak seliaannya. Apabila berjumpa buat kali pertama, kita terkejut melihat seorang ‘pakcik’ yang sangat tua, bila bercakap pun macam berbisik. Butir bicaranya pun tak difahami. Kita pun confuse samada dia dengar apa yang kita cakap atau dah tertidur. Haaaa…jadi jangan ingat semua pakar adalah penyelia yang ideal tau.

3) Peluang dana

#Ada juga profesor yang perlu menjalani projek kajian yang berskala besar dan mendapat dana yang lumayan untuk tujuan itu. Selalunya mereka akan menawarkan peluang biasiswa buat pelajar PhD yang berminat membuat kajian yang menyumbangkan hasil untuk projek tersebut.

4) Sikap SV

#Siapa yang tidak suka orang yang baik hati dan bermotivasi tinggi kan? Ada SV yang sangat berkobar-kobar membantu anak seliaannya. Bertuahlah badan jika dapat penyelia sebegini.

Ha….bagaimana sekarang? Dah dapat bayangan penyelia yang sesuai?

“Saya tak ada kenalan sebidang untuk beri pendapat, tak tahu tentang reputasi SV, tak ada dengar mana-mana peluang dana dan tak tahu mana-mana penyelia baik @ sporting. Jadi macam mana? Habislah saya…Waaaa!”

Oh, jangan menangis! Ada lagi cara lain. Bawa bertenang….bertenang….

Di sini  saya beri cara yang asas pula untuk mencari penyelia. Sebelum itu, anda mesti ada serba sedikit bayangan tentang topik yang diminati/berpotensi untuk dikembangkan menjadi kajian PhD.

Untuk memudahkan pemahaman, saya akan tunjuk caranya dengan menggunakan ‘kes’ saya sebagai contoh. Saya berminat untuk membuat kajian sastera bandingan (Arab-Melayu-Parsi) yang tertumpu pada travelog (catatan kembara). Sasaran saya pula adalah SOAS, University of London. Ok, jom cari penyelia!

  1. Masuk ke laman web universiti yang diminati. Cari fakulti yang berkenaan dan kemudian cari jabatan (department) yang berkaitan.
sv1

Saya melayari laman SOAS dan tekan ‘Departments’.

sv2

Oleh sebab bidang kajian saya adalah Sastera Bandingan, saya memilih ‘Languages & Cultures’. Sastera utama dalam kajian saya adalah Sastera Arab, jadi saya memilih ‘Near and Middle East’.

2. Cari senarai tenaga akademik untuk jabatan tersebut. Tengok satu-persatu profil para pensyarah.

sv3

Apabila sudah masuk ke jabatan yang berkenaan, saya menyemak senarai di tepi halaman dan memilih ‘Department Staff’.

sv4

‘Kaji’ profil para pensyarah untuk cari calon penyelia

3. Antara aspek penting yang perlu dilihat pada profil: bidang kajian, senarai penerbitan, subjek yang diajar dan tajuk kajian anak seliaan. Jika anda nampak ada banyak benda yang berkait dengan topik anda, maka itulah calon penyelia yang sesuai.

sv5

Di profil pensyarah, saya meneliti bahagian overview, teaching, expertise dan publications. Ada banyak benda yang berkait dengan topik saya, maka inilah calon penyelia yang sesuai! Sebenarnya inilah penyelia utama saya! ^_^

Setelah anda berjaya ‘menjejak’ calon penyelia yang sesuai, tunggu apa lagi?

Hantar emel kepadanya dan beritahu tentang hajat anda yang ingin menjadi pelajar PhD untuk sekian..sekian..kajian dan berminat untuk menjadi anak seliaannya. Seorang pensyarah akan tertarik dengan pelajar yang berminat membuat kajian dalam lingkungan kepakaran atau minatnya.

Oh ya! Jangan lupa hantar emel kepada beberapa calon penyelia dari beberapa universiti. Pasang banyak-banyak ‘kail’ dan tengok yang mana akan ‘tersangkut’.

Selamat mencari dan ‘melamar’ penyelia! ;D