Cinta F.A. ~Daun 2


Assalamualaikum.

Alhamdulillah saya berjaya habiskan bacaan teliti novel ‘Panglima Awang’ untuk kajian saya. Dah habis baca, baru hati rasa lega dan tenang nak menulis di blog semula. Kalau tak, rasa bersalah pula buat kerja lain sedangkan bahan kajian tak habis baca lagi. Hehe!

Sekarang saya sambung cerpen saya berjudul ‘Cinta F.A’.

Selamat membaca!😀

CintaF.A 2

Fereshte mencampak beg dan cadur ke atas lantai. Dia menghempaskan badannya ke atas katil empuk itu. Tangannya mendepang luas dan matanya merenung siling. Sakit di hati masih bersisa. ‘Kenapa ayah perlu menjemputku dari universiti? Aku bukannya tidak tahu pulang ke rumah sendiri. Bencinya!’ Jeritan itu bergema di hati.

Bunyi dari komputer menarik perhatian. Dia bingkas bangun dan menyalin pakaian. Segala rasa marah bagaikan hilang ditiup angin. Bibirnya menguntum senyuman gembira. Cepat-cepat dia mengambil tempat duduk di hadapan komputer.

firuz_8420: Salam. Apa khabar? Awak pernah tak mendengar syair Manuchehri Damghani[1]?

Fereshte tersenyum sendiri. Nampaknya topik perbualan mereka pada kali ini berkisar tentang dunia sastera. Dia terus mengetuk papan komputer.

ali_redza9: Saya pernah mendengar namanya tapi saya tak pernah membaca syairnya. Kenapa?
firuz_8420: Ada sebuah syairnya yang saya suka sekali. Syairnya bermula dengan kata-kata ini:

Sahabat,kau tahu hatiku merindukanku.
Bibirku hamba debu kakimu.

‘Betapa berharganya seorang sahabat bagi Manuchehri. Berlainan pula dengan diriku. Aku tiada seorang kawan pun.’ Fereshte mula menilai dirinya.

firuz_8420: Syair itu juga mengatakan:

Aku takkan pernah mengkhianatimu,
Walaupun ada niatmu untuk mengkhianatiku,
Tak kubenarkan orang lain mengkhianatimu.

Kesunyian tanpa teman semakin menghimpit jiwa Fereshte.

firuz_8420: Ada juga sambungannya.

Jasad ku mengekori hati,
Hati pula mencarimu,
Wujudku mengharapkan jiwa,
Jiwa pula merindukanmu.

Dalam maksudnyakan?

Fereshte terasa sebak. Baru sekarang dia terasa kepentingan seorang sahabat.

firuz_8420: Ali Redza?

Soalan mula diajukan apabila tiada sambutan dari pihak Fereshte.

ali_redza9: Firuz, boleh tak awak menjadi sahabat saya?
firuz_8420: Bukankah selama ini kita berkawan?
ali_redza9: Saya mahu persahabatan yang sebenar. Bukan setakat berbincang mengenai sesebuah topik. Sebenarnya saya ini kera sumbang. Saya tak pernah bersembang dengan orang lain selain awak seorang.
firuz_8420: Tentu sekali. Kita berdua pasti menjadi sahabat yang baik.

Rasa gembira menyimbah diri Fereshte. Ada orang sudi menjadi sahabatnya.

firuz_8420: Kejujuran dan saling mempercayai penting dalam sebuah persahabatan.

Senyuman Fereshte mati serta merta. Kenyataan itu membunuh segala kegembiraannya.

ali_redza9: Ya, jujur itu penting. Saya mahu mengaku sesuatu. Sebenarnya saya seorang perempuan.
firuz_8420: Bukankah awak Ali Redza?
ali_redza9: Itu hanya nama samaran. Nama saya Fereshte.
firuz_8420: Yakah? Saya pun perempuan juga.
ali_redza9: Saya tak main-main, Firuz. Saya serius. Awak banyak memaparkan topik menarik dalam laman chat. Saya mahu menjadi rakan chat awak tapi saya takut awak tidak mahukan kawan perempuan.
firuz_8420: Lelaki atau perempuan sama sahaja dalam perbincangan ilmu. Mengapa perlu mencipta jurang?
ali_redza9: Saya tahu saya salah anggap. Boleh tak awak maafkan saya Firuz?

Sebarang jawapan tidak diberikan. Fereshte mula putus harapan.

firuz_8420: Jangan lupa tulis sajak untuk saya nanti,ok? Untung-untung awak juga akan menjadi terkenal seperti Manuchehri Damghani kelak.

Harapan yang hampir layu tadi terus mekar. Wajah Fereshte berseri-seri. Dia terus mengangguk dengan senyuman lebar.

[1] Manuchehri Damghani adalah seorang penyair parsi terkenal yang hidup pada zaman kesultanan Sultan Mahmud Ghaznavi. (421-432 H.Q) Beliau terkenal dengan kehandalannya dalam menggambarkan
unsur-unsur tabiat dengan indah dan pengaruh Sastera Arab dalam syair parsinya