Tips Bangkit Semula Apabila Permohonan Biasiswa/Universiti Ditolak


hyde park

Belajarlah falsafah ‘never give up’ daripada anak kecil yang baru belajar berjalan. Tidak kira berapa kali pun dia terjatuh, dia akan bangkit semula. Jika terluka, dia akan menangis sekejap. Kemudian dia akan bangkit semula untuk berjalan dan terus berjalan sehingga dia belajar berlari. Ketika sudah pandai berlari, dia akan ketawa keriangan dan melupakan segala kesakitan dahulu

 

Assalamualaikum semua ^_^

Masya Allah, tak sangka tulisan saya mengenai tips permohonan biasiswa untuk pengajian luar negara mendapat sambutan yang hangat! Semoga perkongsian itu bermanfaat buat semua dan harapnya ia dapat menjana saham akhirat buat saya.

Ada yang pernah berkata pada saya:

“Ala…Kak Firuz senanglah cakap. Kak Firuz pandai…anak profesor. Mesti senang dapat biasiswa/diterima masuk universiti.”

Oh, pandailah sangat! (tangan ke bahu, mata ke atas) Sebenarnya, saya melalui pelbagai penolakan (rejection) sebelum mendapat tawaran. Ingat sekali minta, terus dapat? Oh no no no! Macam-macam dugaan yang perlu ditempuhi sebelum saya sampai ke tahap ini.

Mari saya cerita sikit koleksi penolakan dalam hidup saya. Banyak kali ditolak, sampai boleh buat drama bersiri gitu. Saya berkongsi cerita supaya mereka yang pernah ditolak tidak berputus asa dan terus bersemangat untuk bangkit dan terus mencuba.

1) Selepas SPM dalam bidang sains tulen, saya mendapat tawaran di kolej matrikulasi Sepang. Walaupun begitu, ketika itu saya sudah tidak meminati sains dan saya bercadang untuk mengambil sastera kerana saya baru tersedar yang bakat saya lebih kepada sastera. Maka, saya mengisi borang UPU untuk bidang sastera arab di UIA dengan menggunakan sijil sains SPM saya. Sayangnya, ketika zaman itu, proses penerimaan universiti adalah berdasarkan aliran SPM. Saya pula menongkah arus meminta bidang sastera dengan sijil sains. Apalagi? Sudah semestinya saya gagal mendapatkan tempat!

Sebagai seorang remaja, saya terasa seperti dunia sudah berakhir ketika itu. Saya tidak pernah merasai kegagalan seperti itu. Sejak kecil saya mendapat tempat teratas dalam kelas, kemudian diterima pula masuk ke KISAS. Saya rasa seperti sudah memalukan KISAS dengan tidak mendapat tawaran universiti. Kolej matrikulasi sudah ditolak, permohonan universiti pula tak berjaya. Nak buat apa? Duduk di rumah, menunggu orang masuk meminang saja kah? Oh tidaaaaaaaaak!

Ayah saya memujuk dengan mengatakan anak muridnya ada sebuah kolej swasta Arab di Muar. Ketika itu saya ada juga mengisi borang biasiswa untuk cuba belajar di Iran tapi tahu-tahu sajalah, proses di sana memakan masa yang amat panjang. Maka, saya pun bertapa di sebuah tempat bernama Parit Sakai di Muar. Ingatkan ada kakak-kakak senior yang akan menyambut kedatangan dan bolehlah saya mengikuti program orientasi. Rupa-rupanya….SURPRISE! sayalah perempuan pertama di kolej tersebut.

Ada 2 orang pelajar perempuan mendaftar dan kami bertiga memulakan pengajian. Memandangkan latarbelakang pendidikan semua pelajar berlainan, maka kami diajar dari bawah. Saya tiada niat untuk membanggakan diri tapi cuba bayangkan, saya yang mendapat A1 dalam subjek Bahasa Arab Tinggi ketika SPM, perlu mengikuti kelas yang mengajar alif ba ta….Tidak ke terasa mahu meraung? Kemudian kami diajar perkataan arab yang asas seperti…famun, mulut..uzunun telinga…dan sebagainya. Secara kebetulan pula, sebelah kami ada tadika dan secara kebetulan pula mereka sedang belajar benda yang sama! Terasa bersahut-sahutan pula dan suara siapa yang paling kuat, rasa lebih boss.

Tidak lama kemudian, barulah kami mula belajar menggunakan kitab. Saya terasa bersemangat kembali walaupun ada juga terlintas di fikiran tentang kawan-kawan sekolah dulu yang sedang enak mengikuti pengajian matrikulasi atau sedang membuat persediaan untuk ke luar negara di Intec. Tak mengapa…sabar ye Firuz. Ada hikmah di sebalik semua ini.

Setelah hampir 6 bulan, akhirnya saya dapat surat tawaran daripada Iran. Ya Allah, gembiranya saya ketika itu kerana impian untuk belajar di luar negara tercapai! Setelah mengucapkan selamat tinggal pada Parit Sakai yang diingati selalu, saya pun membuat persediaan untuk ke Iran. Memandangkan saya cucu pertama yang belajar di luar negara, keluarga mengadakan kenduri doa selamat dan kesyukuran.

Dua hari sebelum bertolak ke Iran, saya mendapat panggilan telefon daripada kedutaan Iran: “Firuz, kelas sudah lama bermula dan sekarang sudah pertengahan semester. Rugi kalau awak datang sekarang. Apa kata awak datang tahun depan?”

Terasa bagaikan terdengar bunyi guruh berdentam dentum. Terbatallah rancangan untuk pergi ke Iran dan saya terpaksa menunggu Januari sedangkan ketika itu baru bulan Oktober. Saya kembali murung. Kenduri sudah buat, semua sudah tahu rancangan saya ke Iran dua hari lagi, takkanlah nak pulang semula ke Muar? Malu… Jadilah saya seorang surirumah sepenuh masa  hampir 3 bulan. Walaubagaimanapun, dalam tempoh tersebut saya banyak belajar ilmu rumahtangga dan saya sempat menolong ayah saya menulis buku tatabahasa Arab.

Haaaa…ada macam telenovela tak? Sudah jatuh ditimpa tangga, dihempap lif.

Saya sambung pula dengan lagi satu kisah penolakan ketika cuba meminta biasiswa bagi pengajian Masters.

2) Saya bercita-cita untuk meneruskan pengajian Masters sebaik saja selesai ijazah BA. Banyak universiti yang dipohon dan saya diterima untuk Masters di University of Georgia di US. Memang sangat teruja tetapi biasiswa tidak ada. Saya dan ayah pergi ke pejabat MARA dan kementerian pendidikan untuk bertanya tentang biasiswa tetapi tiada tawaran ketika itu.

Betapa ayah saya mahu menolong saya mencapai impian saya sehingga dia sanggup menebalkan muka bertemu dengan bekas rakan sekolahnya yang juga orang kenamaan ketika itu untuk meminta biasiswa. Boleh teka apa yang dikata?

“Hai….anak Profesor pun nak minta tolong bab biasiswa?”

Ah….can you feel how heartbreaking it was to see your father going through that kind of situation just for you? Memang benar ayah saya profesor tapi dia masih tidak mampu untuk menanggung kos pengajian yang memakan sehingga puluhan ribu untuk setahun.

Pedih hati saya dan saya terpaksa melepaskan peluang itu pergi. Saya rasa seperti masa depan saya agak kabur kerana saya bercita-cita menjadi ahli akademik. Orang lain mudah saja meneruskan pengajian daripada sarjana muda kepada sarjana sedangkan saya gagal. Walaubagaimanapun, saya memujuk diri supaya bersabar dan mula berkecimpung dalam dunia pekerjaan. Selama 2 tahun saya mencuba pelbagai jenis pekerjaan untuk meraih pengalaman termasuklah telemarketer, cikgu sekolah rendah agama, penterjemah, eksekutif projek dan pembantu peribadi.

Setelah mencari maklumat di internet, saya cuba memohon biasiswa Fulbright pula. Saya tahu ia sebuah biasiswa yang sangat berprestij dan susah untuk diperoleh, tapi belum cuba belum tahu. Setelah 6 bulan menghantar borang, barulah saya mendapat panggilan temuduga. Tanpa disedari, hasil pengalaman saya bekerja selama 2 tahun banyak membantu saya mencantikkan ‘resume’, meningkatkan keyakinan diri dan memberi kekuatan untuk menjawab soalan dalam temuduga. Alhamdulillah saya dapat biasiswa Fulbright! Syukur~

Itulah serba sikit kisah penolakan saya. Kang cerita semua, jadi kisah 1001 malam pula. hehe~

Kawan-kawan, ingatlah gagal sekali tidak bermakna gagal segalanya. Jadilah seperti bola. Apabila dilbaling ke lantai, ia akan melantun naik. Lagi kuat ia dicampak ke bawah, lagi tinggi ia akan melonjak.

Apabila gagal mendapatkan biasiswa atau universiti, jangan terus berputus asa. Cuba, cuba dan cuba lagi. Usaha, doa dan tawakal jangan dilupakan. Siapa tahu dengan satu penolakan, kita akan dapat tawaran yang lebih baik pada masa datang. Hanya Allah yang tahu bila dan macam mana yang terbaik untuk kita.

Bagi saya, tempoh menerima tolakan adalah tempoh ‘grooming’ diri untuk menjadi lebih baik. Jangan terus bermuram durja tapi terus asah diri supaya diri lebih mantap. Groom yourself to be more outstanding until they cannot find any reason to reject you.

Di sini saya beri tips ‘grooming’ diri sebelum cuba lagi membuat permohonan pada tahun berikutnya:

1) Banyak libatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan. Apa-apa saja aktiviti yang membawa kebaikan tidak kira samada berbayar atau sukarela sangat penting untuk mencantikkan resume anda. Ini adalah antara faktor yang menyebabkan anda menonjol berbanding orang lain terutamanya untuk persaingan sengit merebut biasiswa.

2) Hasilkan penulisan tidak kira samada formal atau tidak formal. Ini amat membantu anda dalam permohonan kerana ada borang yang menyediakan tempat kosong untuk mengisi hasil penerbitan.

3) Mantapkan diri dengan kelebihan bahasa. Secara umumnya, mereka yang mahu belajar di luar negara dijangka untuk mahir berbahasa. Walaupun mendapat keputusan yang baik dalam IELTS/TOEFL, tidak semestinya seseorang akan petah bercakap dalam sesi temuduga. Jadi asahlah kemahiran berbahasa sewaktu sesi ‘pertapaan’ anda.

4) Belajar seni berkomunikasi. Maksud saya berlatihlah banyak-banyak cara berinteraksi dengan orang. Mungkin ia kelihatan remeh tapi ramai yang tidak sedar kepentingannya. Learn how to be warm and friendly but not ‘cheap’. Learn how to be confident but not cocky. Kemahiran ini memerlukan latihan dan ia sangat berguna untuk sesi temuduga kelak.

5) Belajar melihat sesuatu daripada pelbagai dimensi. Try to think differently. Nanti apabila anda ‘diserang’ dengan soalan yang provokatif, anda tidak akan cepat melatah dan anda akan bijak menjawab dengan memberi perspektif lain. Seperti yang saya katakan dalam tulisan saya sebelum ini, anda perlu bijak menukar benda yang kelihatan seperti kekurangan menjadi kelebihan.

6) Paling utama ialah terus baiki hubungan kita dengan Yang Maha Memberi. Berdoa dan terus berdoa. Banyakkan bersedekah dari pelbagai segi: kewangan, tenaga, ilmu dan sebagainya.

Setakat ini dulu perkongsian tips saya. Jika anda ada tips lain atau ada soalan, kongsilah di bahagian komen di bawah. Manfaatkanlah tempoh ‘grooming’ anda dengan sebaik-sebaiknya supaya anda dapat mengeluarkan sinar anda yang paling berkilau kelak.

Selamat mencuba!