Cinta F.A. ~Daun 1


Assalamualaikum,

Sempena dengan kedatangan musim luruh 2014, di sini saya kongsikan karya saya yang berlatarbelakangkan musim luruh. Sebenarnya karya ini sudah lama (saya siapkan karya ini pada 2006 atau 2007, tak ingat dah ;p) dan harapnya selepas ini saya akan lebih rajin menulis cerita…uhuk uhuk! (Ntah bila la tu..)

Saya tampilkan karya ini dalam bentuk siri yang bersambung. Kisah ini bukan cerita sebenar tau, rekaan semata-mata. Cuma biasalah…daripada pengalaman tinggal di Iran tu, saya kembangkan dengan imaginasi yang melilau-lilau, maka lahirlah karya  ini.

Terimalah….(masukkan muzik iringan yang disukai)….CINTA F.A.!

autumn_leaf-D1

Peluh mula memercik di dahi. Matanya liar menyelingas ke kanan dan kiri. Irama degupan jantungnya bertambah rancak. Tiba-tiba matanya ternampak kelibat sebuah kereta Pride berwarna kelabu. Kakinya seakan kebas sebentar. ‘Alamak, dia sudah datang!’ rungut atmanya. Dia mahu lari daripada lelaki itu. Selagi dirinya tidak dilihat, peluang untuk menghilangkan diri agak cerah.

“Vanak[1]! Vanak! Seorang lagi penumpang!”

Jeritan pemandu teksi itu memberikan sinar harapan kepadanya. Dia lebih rela berhimpit-himpit dalam teksi daripada menjadi penumpang kereta lelaki itu. Beg di bahu disandang kejap. Langkah kakinya yang laju tadi bertukar manjadi larian. Dia sudah hampir ke pagar utama universiti.

Lariannya yang kencang itu lumpuh dengan tiba-tiba. Dia langsung tidak mampu mara ke hadapan. Cepat dia menoleh ke belakang. Rupa-rupanya cadurnya[2] tersangkut di pagar. Keluhan kecil kedengaran dari mulut kecil itu. Dia pantas mencangkung dan cuba melepaskan cadurnya daripada cengkaman dawai di pagar.

Matanya sempat menjeling ke arah teksi yang berada di hadapan universiti. Pemandu dan 4 orang penumpang telah mengambil tempat masing-masing. Hanya satu tempat sahaja yang kosong dan dia mahukan tempat itu. Tangannya sibuk bekerja sementara dadanya semakin tenat diserang rasa bimbang. Rasa bimbang antara tempat kosong di teksi diambil orang dan kemungkinan dilihat oleh lelaki itu.

“Alhamdulillah,” Kata pujian itu kedengaran apabila dia berjaya mengungkaikan sangkutan cadur dari cengkaman dawai itu. Dia kembali menyandang beg di bahu. Sambil berjalan ke arah teksi, dia memegang kejap cadurnya supaya tidak menggerbang lagi. Tinggal kira-kira 10 tapak lagi ke teksi apabila seorang gadis datang berlari dari arah yang bertentangan.

“Minta maaf. Saya ada hal yang perlu diselesaikan sekarang,” Dengan kata-kata itu, gadis itu terus memasuki perut teksi. Teksi yang semenjak tadi menunggu penumpang terakhir, terus meluncur laju meninggalkan universiti. Beg di bahu terjatuh ke lantai. Mulutnya ternganga separuh. Sia-sia sahaja usahanya. Dia yang begitu berharap menjadi penumpang terakhir hanya berpeluang makan asap teksi.

“Fereshte,” Suara garau yang memanggil namanya itu bagaikan tangga yang menghempapnya setelah terjatuh. Sudahlah ditinggalkan teksi, dia berjaya dijejaki oleh lelaki itu pula. Rasa benci, sakit hati, tidak puas hati bercampur sehingga menghasilkan sebuah ekspresi khas di wajahnya.

Beg yang terjatuh diambil oleh lelaki itu. Fereshte tiada pilihan. Dalam keadaan yang terpaksa dan hati yang berat, dia mengekori lelaki itu sehingga ke perut kereta. Dalam kebisuan itu, api dendam mula menyala.

[1] Vanak adalah salah sebuah medan terpenting di Tehran, ibu negara Iran
[2] Cadur adalah kain labuh dan besar yang berwarna hitam. Gadis Iran selalunya menyarungkan cadur di atas kepala dan ia labuh sehingga ke kaki.