Makmal Masakan 1: Pide/Pizza Sampan/Turkish Pizza


Assalamualaikum,

Sejak menjadi pelajar merangkap suri rumah sepenuh masa, saya banyak berlatih memasak. Dah duduk rumah, tak ada lah alasan untuk tidak masak kan? Hehe~ Setiap hari kepala akan ligat fikir tentang menu masakan. Lebih-lebih lagi kerana cik abe dapat makan masakan Melayu di restoran tempat kerjanya setiap hari. Oleh itu, saya perlu pelbagaikan jenis masakan supaya dia tidak bosan. Siapalah yang tidak gembira jika suami suka makan hasil air tangan kita kan?😉

Saya bukanlah pakar dalam bab masak-memasak ini. Hampir setiap hari saya bereksperimen dengan pelbagai resepi dan hasilnya ada yang gred A, B dan juga C. Biasalah tu…takkan la nak terus jadi mahir, ye tak?

Di sini saya kongsikan eksperimen saya dengan pelbagai makanan. Semoga perkongsian ini bermanfaat dan dapat memberi idea untuk menu masakan kawan-kawan. Jom memasak!😀

Kali ini saya akan mulakan dengan  Pide/Pizza Sampan/Turkish Pizza. Saya jadi terliur pula apabila melihat instagram salam2benua. Kakak tu memang pandai memasak pelbagai juadah yang melazatkan. Lawatlah instagram salam2benua untuk mendapat inspirasi bagi resepi makanan.

Untuk bahan-bahan membuat adunan pizza, saya ambil daripada salam2benua.

Pide/Pizza Sampan/Turkish Pizza

PicsArt_1410641374129

Bahan-bahan adunan pizza:

  1. 1 biji telur
  2. 1/4 cawan greek yogurt
  3. 1/4 cawan minyak zaitun
  4. 2 sudu teh gula
  5. 2 sudu teh yis segera
  6. 1 cawan air suam (Pastikan suam, jika air panas yis akan mati. Saya isi separuh cawan dengan air panas dan separuh dengan air biasa untuk menjadikannya suam)
  7. 1 sudu teh garam.
  8. 3 1/2 cawan tepung

Cara-cara membuat adunan tepung:

  • Campurkan yis segera dengan air suam dalam mangkuk dan kacau higga larut.
  • Tambah telur, yogurt, minyak zaitun, gula, garam dan kacau sehingga sebati.
  • Ayakkan tepung ke dalam mangkuk sedikit demi sedikit dan sebatikan adunan.
  • Tutup mangkuk dengan plastik  pembungkus dan biarkan ia kembang sehingga 2 kali ganda dalam masa sejam.

Sementara menunggu adunan tepung mengembang, jom sediakan inti pizza. Sebenarnya terpulang pada kreativiti masing-masing untuk membuat inti. Saya kongsikan di sini INTI HENTAM saya tau, memandai-mandai saja buat inti sendiri ni. ;p

Pizza Sampan Daging

  1. Daging kisar
  2. Bawang merah
  3. Bawang putih
  4. Sos tomato
  5. Sayur campuran (Paket sayur campuran di sini mengandungi kacang pis, lobak dan kacang panjang)
  6. Jagung (Saya guna paket jagung segera)
  7. Garam
  • Tumis bawang merah dan bawang putih.
  • Masukkan daging kisar dan kacau sehingga masak keperangan.
  • Letak sedikit garam dan campurkan sos tomato.
  • Masukkan sedikit sayur campuran dan jagung.

Pizza Sampan Makanan Laut

  1. Udang
  2. Crabstick
  3. Pes tomyam
  4. Mango chutney
  • Bubuh sedikit minyak dan masak udang dan crabstick.
  • Letakkan pes tomyam.
  • Setelah siap masak, gaulkan sedikit mango chutney.

Pizza Sampan Keju

  1. Keju yang disagat.
  2. Kepingan salami (ayam/daging/ayam belanda)
  3. Sos tomato
  • Inti yang paling mudah kerana tidak perlu dimasak. Tabur keju banyak-banyak dalam pizza perahu.
  • Susun kepingan salami dan hias pizza perahu dengan corak zigzag sos tomato.

Okay sekarang jom uli tepung.

  • Tabur sedikit tepung atas permukaan meja dan atas tapak tangan untuk mengelakkan tepung daripada melekit.
  • Bahagikan adunan tepung kepada 6 bahagian. Akak salam2benua bahagikan pada 8 bahagian, terpulang pada anda sebenarnya.
  • Gelekkan tepung sehingga leper menjadi bentuk bujur dengan penguli. (saya tiada penguli, jadi saya balut plastik pada botol kosong dan tadaaaa….penguli jadian ;p)
  • Isi inti di tengah-tengah dan kelepet di tepi.
  • Masukkan dalam ketuhar pada suhu 250 darjah celcius lebih kurang 15 minit.

Boleh rujuk video di bawah untuk cara membentuk adunan tepung menjadi pizza perahu.

Saya yang membuat adunan tepung dan memasak inti manakala cik abe yang menguli tepung menjadi pizza sampan dan susun inti di dalamnya. Hasil eksperimen: Kami dapat pizza sampan pelbagai bentuk, ada yang gemuk, ada yang kurus. Hehe~

Paling enak dimakan sebaik saja pizza perahu dikeluarkan dari ketuhar. Mmmm…sedapnyaaa!

pizza1 pizza2pizza3

Selamat mencuba! ^_^