Sayang~ Jom Kita Baca Quran <3 ;)


Suami dan isteri ibarat sebuah syarikat kerjasama. Sama-sama perlu menggembleng tenaga untuk membina keluarga bahagia, mendidik anak-anak, menguruskan ekonomi rumahtangga dan sebagainya. Dalam kita sibuk memenuhi keperluan fizikal dan material dalam rumahtangga, kita jangan lupa pada keperluan mental dan rohani kita. Bagi mereka yang telah berkahwin, pernah tidak buat perancangan untuk hal kerohanian rumahtangga?

Sewaktu masih bujang, kita agak fleksibel dalam hal ritual harian dan mungkin ada jadual ibadat yang dirangka sendiri. Selepas berkahwin, ritual harian pasti berubah kerana ada tanggungjawab lain yang perlu dipikul. Walau bagaimana sibuk pun, kita perlu terus ada keinginan untuk memperbaiki mutu rohani dan ibadat kita. Dalam keinginan untuk memperbaiki kerohanian sendiri, jangan lupa pula pada pasangan kita. Ingat kan? Perkahwinan kan syarikat kerjasama? Kalau boleh sama-sama mahu mendapat pahala dan masuk syurga, insya Allah.

Ibadah memang luas dan mencakupi pelbagai aspek. Di sini saya hanya ingin menyentuh hal bacaan Al-Quran. Ia tidak wajib seperti solat tetapi tidak dinafikan Al-Quran memainkan peranan yang besar dalam hidup kita. Jika lama tidak membaca Quran, percayalah hati akan terasa kosong. Mari kita usaha untuk istiqamah dalam bacaan Quran. Satu hari satu ayat pun sudah memadai sebagai permulaan. Sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit.

Image

Memandangkan  Quran penting dalam hidup kita, pasangan suami isteri perlu berusaha untuk menjadikan Quran sebagai ‘ahli keluarga’.  Di sini saya akan berkongsi beberapa contoh situasi dan tips dalam usaha untuk menjadi mesra Quran.  Kebanyakannya saya tulis dalam perspektif seorang wanita kerana orang lelaki yang menjadi ketua keluarga selalunya tidak mempunyai masalah untuk ‘mengarahkan’ isteri untuk berkawan dengan Quran. Wanita pula perlu berhati-hati dalam ‘memujuk’ suami kerana orang lelaki secara amnya ada egonya tersendiri.

Image

Situasi 1: Suami isteri dua-dua tidak beberapa fasih Quran. Isteri sedar tentang kekurangan itu tetapi tidak tahu cara untuk mengajak suami belajar Quran.

Situasi 2: Suami isteri tahu membaca Quran dan tahu selok belok tajwid. Tetapi salah seorang atau dua-dua tidak meluangkan masa untuk membaca Quran.

Image

Situasi 3: Suami mahir membaca Quran, malah boleh mengajar orang Quran tetapi tidak terlintas untuk menolong isteri memantapkan bacaan Quran.

SItuasi 4: Isteri lebih mahir dalam bacaan Quran dan hukum tajwid berbanding suami.

Antara cadangan tips:

1)      Ajak pasangan baca/belajar Quran dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang. Cuba ‘goda’ suami untuk membaca Quran. Cakap elok-elok supaya suami tidak terguris hati. Contohnya:
“Sayang~ jom kita baca Quran nak? Kita baca sikit-sikit je dulu ok?”

2)      Minta ahli keluarga lain atau kawan terdekat suami untuk bercakap tentang kepentingan membaca Quran. Kadang-kadang suami lebih mendengar atau terkesan dengan nasihat daripada orang lain.

3)      Saja-saja buka radio Al-Quran atau rancangan TV Quran.

4)      Isteri minta izin belajar Quran daripada suami untuk belajar Quran dengan ustazah/ustaz dan setiap kali lepas belajar, berceritalah pada suami tentang apa yang dipelajari.

Image

5)      Jika isteri yang mengajar suami Quran, ajar dengan suara yang lemah lembut, sentiasa puji, dan betulkan kesalahan tajwid dengan sopan dan lembut. Lagi elok, kalau bagi hadiah bacaan Quran yang baik dengan ciuman di pipi. Hehe~

6)      Sentiasa ingatkan atau ajak baca Quran dengan lembut dan penuh senyuman. Jangan paksa, gertak, atau ugut.

7)      Baca Quran depan suami dan minta tolong dia betulkan.

8)      Memotivasikan diri dengan memberi hadiah pada diri sendiri atau suami apabila berjaya menghabiskan beberapa surah atau selesai satu juzuk.

9)      Membuat kuiz tajwid atau bacaan Quran bersama suami secara santai.

Ini hanya beberapa cadangan tips untuk menyuburkan cinta Quran dalam rumahtangga. Anda ada cadangan lain atau pengalaman yang mahu dikongsi? Kita memang tidak akan pernah menjadi manusia yang sempurna tetapi kita perlu berusaha untuk memperbaiki diri. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Jom kita usaha untuk semaikan cinta Quran dalam rumahtangga!❤😉

Image