Resepi Makanan Bayi 1: Spageti Daging


Assalamualaikum,

Sebagai ibu bapa sudah pasti kita mahu melihat anak kita membesar dengan sihat dan ceria. Semestinya pemakanan anak-anak sangat penting lebih-lebih lagi sistem penghadaman mereka masih terlalu muda. Kalau boleh, kita mesti teringin nak berikan makanan yang sihat untuk anak kita kan?

Sepanjang 6 bulan pertama, saya hanya beri susu ibu saja kepada Baby Arish. Selepas tiba ulangbulan ke 6, baru saya berani beri makanan lain. Memang teruja dan risau sebab pertama kali nak memperkenalkan makanan padanya. Satu sebab saya memang tak tahu nak beri apa pada Arish, kedua saya risau jika Arish menolak makanan. Tapi alhamdulillah, Arish bedal saja apa yang saya beri ;p

Saya banyak buat rujukan resepi makanan bayi di internet. Akhirnya saya beli beberapa buku resepi makanan bayi karya Annabel Karmel. Memang sangat murah, rasa rugi pula tak beli. Satu buku saya dapat 1p saja! Seolah-olah saya beli buku 1 sen saja, siapa tak mahu kan? Hehe. Ada juga buku lain yang saya beli tapi semuanya tidak melebihi £5.

Buku-buku ini sangat membantu saya dalam persediaan makanan buat Arish. Memang lengkap, terperinci, kreatif, menarik dan saya jadi teruja untuk memasak. Sudah pasti saya tak ikut bulat-bulat sebab kadang-kadang tiada bahan atau kesuntukan masa (malas ;p). Ada yang minta saya kongsikan resepi makanan bayi, jadi saya cuba untuk berkongsi sekadar yang termampu.

top-100-purees-annabel-karmel-1 weaning babymealplanner

Baby Arish dah 10 bulan lebih, jadi saya sudah variasikan makanannya. Untuk bayi yang lebih kecil, makanannya lebih mudah dan tidak perlu campur macam-macam. Bolehlah tanya Pakcik Google ye untuk resepi bayi yang lebih kecil. Hehe~

Nama sajian: Spageti Daging

Kesesuaian umur: 10 bulan ke atas

Kaedah penyimpanan: Sesuai untuk pembekuan

Kuantiti hidangan: Sesuai untuk  7-8 kali hidangan *Apa-apa pun ia bergantung pada                                                                  selera makan anak anda. Ini hanya anggaran sahaja.

Bahan-bahan:

  1. Sedikit minyak
  2. 1 bawang merah kecil, dikupas dan dipotong kecil-kecil
  3. 1 lobak kecil, dibuang kulit dan disagat.
  4. 1 epal kecil (atau 1/2 epal besar), dikupas dan disagat.
  5. Sedikit daun saderi
  6. Air
  7. 1 biji tomato, dipotong kecil-kecil
  8. Sedikit daging kisar (ikut selera anda)
  9. 1 ulas bawang putih, dikupas dan dipotong kecil-kecil
  10. Sedikit spageti (guna mee pun boleh)

Cara memasak:

  • Panaskan minyak dan tumis bawang merah, lobak, daun saderi, epal, dan tomato lebih kurang 2-3 minit. Ketepikan dan kisar.
  • Tumis bawang putih sebentar dan masukkan daging kisar. Biar ia masak keperangan dan pastikan daging tidak berwarna merah.
  • Tuangkan bahan kisaran sebentar tadi ke atas daging. Tambah air dan biarkan ia dengan api sederhana sehingga mendidih.
  • Sementara itu bolehlah sediakan spageti. Terpulanglah berapa banyak spageti yang nak digunakan. Mungkin segenggam kecil batang spageti itu cukup. Didihkan sehingga spageti menjadi lembut.
  • Buangkan air dari didihan spageti yang telah lembut. Potong spageti kecil-kecil untuk diberi kepada anak yang sudah banyak gigi dan pandai mengunyah.
  • Campurkan sos daging sebentar tadi dengan spageti.Biarkan ia sejuk sedikit dan bolehlah diberikan pada bayi yang pandai mengunyah!😀
  • Jika anak masih mempunyai sedikit gigi dan tidak beberapa mahir mengunyah, kisar spageti yang telah siap tadi. Siap!

Bismilahirrahmanirrahim. Jom makan! ^_^

20140219_154847

Saya bekukan dalam bekas-bekas begini. Boleh beri dalam 8 kali hidangan untuk Arish.

eating

Protes sebab orang suruh makan sedangkan dia nak main ;p

sleepyarish

;p

Selamat mencuba!

Ok setakat ini dulu. Insya Allah saya akan sambung dengan resepi makanan bayi yang lebih menarik lagi.

Love,

Bonda Arish