Bicara Dakwah


Pada 6 Januari 2012, artikel temuramah dengan saya telah disiarkan di Sinar Harian dalam bahagian Rohani. Artikel berkisar tentang dakwah ini telah ditulis oleh Tuan Buqhairah Tuan Muhammad Adnan🙂

Di sini saya berkongsi temuramah asli tanpa potongan dan suntingan dengan kawan-kawan. Selamat membaca!

1) Apakah cabaran yang dilalui oleh ustazah selaku Ustazah Pilihan untuk berdakwah?

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Illahi kerana saya telah dikurniakan ni’mat yang tidak pernah terduga untuk bertahan di dalam Ustazah Pilihan sekaligus menjuarainya. Sudah semestinya cabaran demi cabaran dakwah saya perlu tempuhi.

a) Untuk pengetahuan, saya adalah satu-satunya finalis yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama yang formal. Bukan itu saja, saya juga graduan dari negara Iran dan Amerika, negara-negara yang tidak sinonim dengan pengajian Islam. Oleh itu, timbul cabaran dari segi keraguan pada kredibiliti saya sebagai pendakwah. Ada yang beranggapan bahawa saya tidak layak untuk menjadi juara Ustazah Pilihan kerana kekurangan tersebut. Maka dakwah saya dilihat sebagai tidak berkesan kerana tidak mencapai ‘tahap’ yang sepatutnya sebagai seorang ustazah. Hanya kerana saya graduan dari Iran, saya dicop ‘syiah’ dan hanya kerana saya pernah menuntut di Amerika, saya juga dicop sebagai ‘sekular’ sedangkan anggapan itu tidak benar sama sekali. Walaupun segala anggapan ini kadangkala mengguris hati, saya tetap bersabar dan berpegang pada kata, ‘Berani kerana benar. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama-sama orang yang sabar.’

b) Selain daripada penyokong setia, program Ustazah Pilihan juga tidak dipersetujui oleh segelintir orang atas alasan mereka tersendiri. Mereka tidak bersetuju dengan program sebegini kerana pada mereka ia seolah-olah mengeksploitasikan wanita dan pada mereka wanita perlu berdakwah di belakang tabir saja. Maka timbullah cabaran dari segi penerimaan dari mereka yang berfikiran sebegini sehingga ada yang melabelkan Ustazah Pilihan sebagai Ustazah Pameran. Muncul suara-suara yang mengatakan kemenangan saya hanya kerana status bujang saya, kefasihan berbahasa Inggeris dan kononnya saya berwajah menarik. Oleh itu, usaha dakwah saya dipandang serong kerana pada mereka saya hanyalah seseorang yang mengejar kemasyhuran.

c) Gaya dakwah saya lebih disenangi oleh golongan remaja dan anak-anak muda. Maka satu cabaran yang besar untuk saya ‘meneutralkan’ gaya saya untuk disesuaikan dengan mad’u dari peringkat umur yang berbeza. Walaupun tidak mudah untuk ‘menukar gear’ dalam cara penyampian berdakwah, saya ambil itu sebagai cabaran yang boleh mematangkan dan memperbaiki diri saya sebagai insan secara umumnya, dan sebagai pendakwah secara khususnya.

d) Seperti yang kita sedia maklum, sekarang merupakan zaman ledakan teknologi maklumat terutamanya internet. Anak muda lebih banyak meluangkan masa untuk berada di alam maya berbanding alam realiti. Cabarannya ialah bagaimana untuk bersaing dengan lambakan bahan yang tidak berfaedah dalam memenangi hati anak muda ini. Daripada membiarkan anak muda ‘terkapai-kapai’ di dalam alam maya, para pendakwah khusus perlu menjemput diri sendiri memasuki alam maya dan bertemu sekaligus ‘menyelamatkan’ mereka.

2) Cara untuk mengatasi cabaran tersebut.

a) Kita tidak mungkin dapat memuaskan hati semua orang di dalam dunia. Sedangkan Rasulullah, manusia teragung mendapat pelbagai tentangan, apatah lagi saya seorang manusia kerdil yang biasa-biasa saja. Saya ambil cabaran itu sebagai penaik semangat saya untuk terus memperbaiki diri lebih-lebih lagi Allah telah berfirman, “Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu. Dan (juga) kamu sungguh-sungguh akan mendengar dari orang-orang yang diberi Kitab sebelum kamu dan dari orang-orang yang mempersekutukan Allah, gangguan yang banyak yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.” (Al Imran:186)

Oleh itu, saya perlu banyakkan bacaan, terus belajar dan belajar, di samping melakukan kerja amali untuk menaiktarafkan diri. Masyarakat perlu sedar bahawa pendakwah itu bukanlah terhad pada bidang agama semata-mata. Menurut Yusuf Qaradhawi, seorang da’i memerlukan pengetahuan dalam bidang:

1)Pengetahuan Islam

2)Pengetahuan Sastera dan Bahasa

3) Pengetahuan Sejarah

4) Pengetahuan Kemanusiaan (Psikologi, sosiologi, ekonomi, falsafah, sejarah)

5) Pengetahuan Ilmiah

6) Pengetahuan Semasa/Dunia Realiti

Sememangnya pengetahuan Islam merupakan tunggak pertama untuk menjadi pendakwah tapi ia tidak terhad kepada sekeping sijil. Sebaliknya kita raikanlah pendakwah dari segenap cabang ilmu dan sama-sama memperbaiki diri untuk menjadi pendakwah yang lebih mantap.

Selain itu, saya suka untuk mengingatkan bahawa dakwah itu seruan untuk mengajak ke arah kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Rasulullah sendiri telah bersabda ‘Sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat.’ Maka menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk berdakwah, bukannya pada ustaz dan ustazah sahaja. Dakwah juga terbahagi kepada dakwah umum dan khusus. Jika kita tidak mampu untuk berdakwah secara khusus, maka kita perlu berdakwah secara umum, contohnya dengan menunjukkan akhlak yang baik supaya menjadi ikutan.

b) Cabaran kedua muncul kerana pertikaian wanita muncul di media elektronik untuk memperkatakan hal agama. Lelaki dan wanita sama-sama mempunyai tanggungjawab dalam dakwah. Allah berfirman, “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah:71)

Teknologi maklumat merupakan pengaruh terbesar dalam hidup manusia masa kini. Ketika wanita-wanita agama dan fahaman lain berjuang habis-habisan dengan menggunakan media, mengapa pula wanita Islam perlu manjauhkan diri daripada media? Yang penting, tujuan perlu jelas dan kita masih menjaga syariat dan adab. Kasihan pada anak muda, sibuk dengan teknologi maklumat dan contoh-contoh ikutan yang tidak manis sahaja yang muncul. Kerana itulah, para pendakwah tidak kira lelaki dan wanita perlu ambil tahu tentang media dan berkecimpung di dalamnya dalam usaha untuk menjadikan dakwah lebih global.

3)Bagaimana untuk berhadapan dengan orang lebih tua dalam menyampaikan dakwah?

Pendakwah perlu bijak dan kreatif menyampaikan dakwah berdasarkan peringkat umur dan kadar kemampuan mad ‘u, beserta teknik yang sesuai dengan mereka. Untuk orang lebih tua, saya berpendapat bahawa saya perlu menghampiri mereka dengan penuh hormat dan kasih sayang. Tidak boleh terlalu santai kerana kemungkinan akan ternampak seperti tidak beradab pada orang tua. Tidak boleh dalam gaya yang seperti mahu mengajar saja kerana saya sedar orang tua lebih banyak makan asam garam dalam kehidupan. Maka pendekatan itu perlu sederhana, dan memerlukan banyak input dari segi ilmu dan pengalaman.

4)Style dakwah @ pendekatan yang diambil untuk menyampaikan dakwah?

Saya lebih suka menggunakan pendekatan yang santai dalam berdakwah. Tidak terlalu formal dan berbentuk kelas pengajian sahaja. Oleh itu, saya lebih banyak ‘bersembang’ di dalam alam maya. Sembang bukannya sembang kosong tetapi dalam masa yang sama, saya akan menyuntik serba sedikit elemen dakwah. Facebook, Twitter, blog, dan Youtube merupakan antara tempat-tempat penampilan saya kerana saya lebih gemar untuk berdakwah secara santai dan kreatif.

Selain itu, saya juga suka mengambil tahu tentang budaya popular (popular culture) kerana ia merupakan pengetahuan hal semasa, di samping ia juga merupakan modal untuk saya mendekati mad ‘u, insya Allah. Orang mungkin melihat sesumpah sebagai perumpamaan orang yang munafik, tetapi saya melihat sesumpah sebagai perumpamaan orang yang fleksibel dan bijak menyesuaikan diri tetapi masih tetap dengan dirinya yang sebenar. Sesumpah berubah warna mengikut persekitaran tetapi ia masih seekor sesumpah, tidak menjadi binatang lain. Saya mahu menjadi seperti sesumpah yang cepat menyesuaikan diri tetapi tetap ‘istiqomah’ dalam menjadi dirinya sendiri.

Dengan ni’mat kemampuan menguasai beberapa bahasa, saya juga gemar menggunakan pendekatan antarabangsa dalam dakwah. Amat menarik jika kita boleh belajar segala yang baik dari mana-mana bangsa dan negara di dunia dan kemudian kita sampaikan kepada masyarakat Malaysia. Kemudian. kita juga sebarkan apa kita belajar di Malaysia pada mereka di negara lain. Masya Allah, itulah keindahan perkongsian ilmu dan kebaikan sesama manusia dan tidak dinafikan teknik pendekatan itu memerlukan kekuatan bahasa.

5)Apa pandangan ustazah mengenai moral masyarakat Islam di negara ini?

Saya boleh katakan moral masyarakat Islam di negara ini masih pada tahap sederhana tetapi kesedaran Islam mula membiak dan ia sedang menuju ke arah yang lebih cemerlang. Setelah saya banyak merantau, saya dapat melihat perbezaan masayarakat Islam di pelbagai negara. Memang banyak perbezaannya tetapi saya tetap bersyukur kerana berpeluang membesar di dalam masyarakat Islam Malaysia. Alhamdulillah kesedaran Islam semakin tersebar di Malaysia tetapi kita perlu bekerja dengan lebih keras untuk menaiktarafkan moral masyarakat Malaysia supaya menjadi lebih cemerlang. Semoga rakyat Malaysia akan dapat mencapai keseimbangan dari segi intelektual, mental, emosi, dan spiritual, insya Allah.

6)Boleh ustazah huraikan mengenai isu murtad yg berlaku sekarang? apakah faktor dan langkah pencegahan?

Memang amat menyedihkan apabila isu murtad semakin berleluasa di Malaysia, sebuah negara Islam. Negara bukan Islam lain ada peningkatan dari statistik bilangan saudara baru dalam Islam, kita pula ada peningkatan untuk bilangan murtad pula. Bukankah ia perkara yang amat menyebakkan jiwa dan perlu dipandang serius? Di antara faktor dan langkah pencegahan untuk isu ini ialah:

Ibu bapa perlu ingat bahawa tugas mendidik anak bukan terletak sepenuhnya pada sekolah. Zaman remaja merupakan zaman ‘kakak tua.’ Anak-anak muda mudah meniru dan mengambil contoh dari persekitaran mereka dan kita tahu mereka banyak meluangkan masa dengan rakan sebaya. Ibu bapa perlu peduli dan ambil tahu tentang anak-anak, bukan untuk tujuan mengongkong tetapi untuk menjadi seperti sahabat mereka dan membimbing mereka ke arah kebenaran. Dengan itu, ibu bapa dapat membantu anak memantapkan akidahdan menyelamatkan mereka dari isu murtad.

Ada juga yang sanggup menggadaikan iman kerana kesulitan hidup. Kita perlu mengambil inisiatif untuk membantu umat Islam yang tidak bernasib baik lebih cepat dan lebih mantap daripada persatuan agama lain. Memang tidak dinafikan bahawa tolong menolong itu perlu sesama manusia tidak kira agama dan bangsa. Walaupun begitu, tidak malukah kita sebagai umat Islam apabila lambat membantu saudara seagama? Di samping menolong dari segi kehidupan, kita juga boleh menolong golongan ini untuk memantapkan akidah kerana tahap pemahaman Islam setiap orang adalah lain-lain. Dikhuatiri apabila kita berlengah dalam menghulurkan bantuan, akan timbul pula pemikiran bahawa Islam ini bukan agama yang prihatin, lantas mencambahkan minat mereka pada agama yang selalu membantu mereka. Na’uzubillahi minzalik.

7)Nasihat dan pandangan kepada masyarakat.

Zaman sekarang, ramai yang sudah berpelajaran tinggi tetapi sayangnya kesedaran itu tidak ada. Ramai yang mengejar kesempurnaan dari segi intelektual atau harta benda tetapi melupakan perkara penting yang lain. Intelek, mental, emosi dan spiritual adalah elemen penting dalam manusia yang perlu dititik beratkan untuk kebahagiaan dunia dan akhirat. Kembali pada visi hidup kita iaitu untuk menjadi hamba Allah dan pengikut Rasulullah yang cemerlang. Visi itu perlu dikotakan dan kita perlu mencari keseimbangan dalam menuju kebahagiaan yang sejati.

Jangan cepat kita menghukum dan memandang rendah pada orang lain. Baik sekarang, tidak beerti kita akan baik sampai akhir hayat kita. Jahat sekarang, tidak bermakna kita akan jahat sehingga ke hujung nyawa. Kita cubalah menjadi masyarakat yang lebih prihatin dan peduli dengan saudara seagama dan dengan semua makhluk tuhan secara amnya. Don’t be selfish and don’t think we are perfect enough and way better than others. Sama-sama kita menyeru ke arah kebaikan, dan saling mendoakan sesame kita. Semoga kita menjadi masyarakt yang lebih sakinah dan penuh dengan mawaddah. Amin.